ROSNI (kanan) dan anak bongsunya,  Aina Afiqah. FOTO Ihsan Aina Afiqah Mat
ROSNI (kanan) dan anak bongsunya, Aina Afiqah. FOTO Ihsan Aina Afiqah Mat
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Pengalaman bergaul dengan rakan berbangsa India ketika kecil memberi kelebihan kepada ibu 13 anak, Rosni Mohd Yusof untuk fasih bertutur dalam bahasa Tamil.

Kisah Rosni, 67 yang menetap di Taman Medan, di sini mendapat perhatian selepas anak bongsunya, Aina Afiqah Mat, 25 memuat naik video di TikTok, baru-baru ini.

Menurut Rosni, video itu dirakam anaknya ketika mereka berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gocken, Turki pada 2018.

"Ketika itu, saya dan Aina mahu pulang ke tanah air selepas bercuti di Turki namun timbul masalah apabila kami kehilangan pasport.

"Di situ, anak saya yang fasih berbahasa Mandarin terjumpa seorang wanita daripada sekumpulan individu berbangsa Cina dan mereka pun berborak.

"Kebetulan, wanita itu juga tahu berbahasa Tamil jadi saya pun berbual dengannya, kemudian baru tahu yang dia (wanita berkenaan) rupanya berasal dari Kelantan.

"Saya tak tahu anak ada muat naik video perbualan kami itu di TikTok sehingga anak beritahu perkongsiannya sudah tular," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Rosni berkata, dia boleh berbahasa Tamil sejak berusia tujuh tahun lagi.

Menurutnya, dia tidak pernah mengikuti kelas formal untuk belajar bertutur bahasa Tamil tetapi fasih kerana bergaul dengan rakan sebaya yang majoritinya berbangsa India.

"Dulu, saya sekeluarga menetap di Kemuning Estet Sungai Siput, Perak di sehingga berusia 15 tahun jadi memang banyak bergaul dengan rakan India.

"Perbualan harian kami dalam bahasa Tamil, itu yang membuatkan saya fasih bercakap dengan orang India dulu tapi kini tidak berapa (fasih) sangat.

"Ini kerana sudah lama tidak praktikkannya tetapi jika jumpa orang India, saya akan cakap bahasa Tamil dan ada dalam kalangan mereka terkejut melihat kebolehan saya," katanya.

Rosni berkata, ketika kecil dia bukan daripada keluarga senang dan hanya dapat belajar setakat tahun empat saja.

Bagaimanapun, Rosni amat bersyukur kerana mempunyai kelebihan lain iaitu bertutur dalam bahasa ketiga.

"Saya suka semua bahasa daripada bangsa lain. Apabila dengar bangsa lain bercakap sesama mereka, saya jadi seronok dan lebih puas jika faham dan dapat bertutur sama.

"Disebabkan itu, saya hantar Aina ke sekolah aliran Cina supaya dia dapat belajar bahasa Mandarin kerana dulu, saya tiada peluang berikutan datang daripada keluarga susah," katanya.

Sementara itu, Aina Afiqah berkata, dia muat naik video ibunya di TikTok sekadar untuk berkongsi pengalaman ketika bercuti di Turki.

"Itu video lama dan saya muat naik suka-suka saja kerana teringat kenangan emak bercakap Tamil dengan wanita berbangsa Cina rakyat Malaysia yang kami jumpa di Turki.

"Sebagai anak Malaysia, tentunya saya kagum dengan mereka dan tak sangka video itu raih tontonan tinggi serta tular dalam tempoh singkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 8:00 PM