Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Keturunan Lim Malaysia Lim Teng Huat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menggunakan gelaran 'Datuk Seri' yang tidak diiktiraf empat tahun lalu.

Lim, 67, yang juga Pengerusi Persatuan Keturunan Lim Melaka dan ahli perniagaan didakwa menggunakan gelaran datuk seri tidak diiktiraf daripada watikah kurniaan Darjah Paduka Seri Diraja Perak (D.S.D.P) di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Melaka pada 14 Oktober 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 7(3) Enakmen Lambang, Gelaran Dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7(4) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda minimum RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara minimum setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah memandangkan tertuduh mempunyai perniagaan di Indonesia dan dikhuatiri melarikan diri.

Peguam Kaw Thien Keat yang mewakili Lim memohon jaminan serendah mungkin kerana tujuan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Katanya, anak guamnya baru menjalani pembedahan pintasan jantung pada tahun lalu dan keadaan kesihatannya membataskan pergerakannya.

Hakim Mohd Sabri Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 12 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 12:49 PM