Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk melantik anak sendiri sebagai pegawai kewangan di syarikat milik kerajaan negeri Melaka itu pada 2021.

Tertuduh, Amir Ali, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus dibacakan pertuduhan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya dengan terbabit membantu melantik anaknya, Nur Hafizah ke jawatan Pegawai Kewangan W41 di syarikat berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat itu di Lot 125, Bangunan Anchor Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam, Jasin pada 1 April 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan ditetapkan antara RM7,000 hingga RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga perbicaraan selesai dan pasport diserah simpan di mahkamah.

Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan ditetapkan RM3,000 atas alasan tertuduh yang bekerja sebagai Pegawai Kebudayaan di sebuah universiti tempatan dengan pendapatan RM6,000 sebulan dan perlu menanggung isteri menghidap penyakit kencing manis dan sembilan anak.

Katanya, tertuduh sentiasa memberikan kerjasama sepanjang siasatan kes, malah hadir menyerah diri ke pejabat SPRM semalam.

Elesabet membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat dipohon pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan bagi serahan dokumen pada 2 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 11:26 AM