GOPALA Krishnan mengaku tidak bersalah tipu pengarah syarikat berkaitan tawaran tender pajakan ladang kelapa sawit tidak wujud tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
GOPALA Krishnan mengaku tidak bersalah tipu pengarah syarikat berkaitan tawaran tender pajakan ladang kelapa sawit tidak wujud tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menipu pengarah syarikat berkaitan tender pajakan tanah ladang tidak wujud hingga menyebabkan mangsa kerugian RM1.03 juta tahun lalu.

Tertuduh, M Gopala Krishnan, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan meminta dibicarakan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menipu Yap Koh Cheng, 69, untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan tender pajak ladang kelapa sawit.

Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong Yap menyerahkan wang berjumlah RM1,029,000, yang mana dia tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Jun 2023 di Kawasan Perindustrian Lendu, Alor Gajah, dekat sini

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom manakala tertuduh diwakili peguam K Shareveen dan S Daniel.

Rashidah memohon tarikh sebutan baru kes bagi serahan dokumen dan menawarkan jaminan RM45,000 dengan seorang penjamin mengambil kira jumlah kerugian RM1.03 juta.

Pihak pembelaan bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh hanya pemandu lori dengan gaji RM3,000 sebulan dan menanggung isteri serta lima anak berusia 10 hingga satu tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan sementara menunggu perbicaraan selesai dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin warga Malaysia dan syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali kepada pegawai penyiasat kes.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Mac depan di Mahkamah Sesyen Alor Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 3:04 PM