SEORANG penduduk di Telok Gadong Kecil, Klang mencuci peralatan dapur selepas menerima bekalan air bersih. FOTO Faiz Anuar.
SEORANG penduduk di Telok Gadong Kecil, Klang mencuci peralatan dapur selepas menerima bekalan air bersih. FOTO Faiz Anuar.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Lumpur: Sehingga 6 pagi hari ini, pemulihan bekalan air di 998 kawasan terjejas di Lembah Klang sudah mencapai 98 peratus, berbanding 88 peratus pada 9 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, wilayah Petaling dan Gombak telah mencapai tahap pemulihan sepenuhnya.

"Ini menjadikan jumlah wilayah yang pulih sepenuhnya adalah enam. Sebelum itu, empat daripadanya adalah Hulu Selangor, Kuala Langat, Shah Alam dan Kuala Selangor," kata kenyataan itu.

Dua lagi wilayah iaitu Kuala Lumpur dan Klang, masing-masing mencatatkan pemulihan sebanyak 95.5 peratus dan 89.4 peratus.

Air Selangor berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis dan tekanan air pada sistem agihan bekalan.

Pengguna yang ingin mengetahui status pemulihan kawasan terjejas boleh melayari laman sesawang hentitugas.airselangor.com.

Gangguan bekalan air berjadual berlaku di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula 9.00 pagi, 13 Oktober berikutan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal babit Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 9:06 AM