GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dimulakan pada jam 9 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, kerja penyenggaraan aset utama ini dijangka akan siap pada jam 11 malam ini.

Katanya, bekalan air mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna bermula jam 5 petang esok selepas sistem bekalan air distabilkan.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, Sabtu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, senarai lengkap kawasan yang terjejas, pili air awam dan Stesen Pengisian Air Komersial boleh didapati di laman laman web hentitugas.airselangor.com.

Katanya, Air Selangor akan menyediakan bantuan air alternatif melalui lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta urusan pengebumian.

"Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

"Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya.

Bermula hari ini, sebanyak 998 kawasan Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Pelaksanaan kerja ini tertangguh daripada jadual asal iaitu pada 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

Pelaksanaan kerja ini sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan pengguna pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 10:07 AM