GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Status pemulihan bekalan air di lapan wilayah terjejas susulan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3, sudah mencapai 89 peratus, setakat 7 pagi hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam hantaran di Facebooknya memaklumkan wilayah Hulu Selangor, Gombak dan Petaling masing-masing mencatatkan proses pemulihan 100 peratus.

Katanya, Kuala Selangor pula mencatatkan 99 peratus, Klang dan Shah Alam (83 peratus), manakala Kuala Langat pula kosong peratus.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor," katanya, di sini.

Air Selangor menyarankan pengguna yang sudah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 1,335 kawasan di lapan wilayah Selangor dan Kuala Lumpur dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas pencemaran bau dikesan di LRA Rantau Panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 8:50 AM