Foto hiasan
Foto hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Lumpur: Beberapa kawasan khususnya berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) sudah mula mendapat bekalan air pada 7 malam hari ini.

Bagaimanapun, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza.

"Ia bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Pemulihan sepenuhnya bekalan air pada 16 Oktober ini iaitu pada 9 malam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan bekalan air mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat pada 4 petang hari ini.

Air Selangor berkata, pihaknya terus menggerakkan bantuan bekalan air dan mengagihkan air botol minuman lima liter kepada pengguna yang terjejas.

Ia berikutan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSP1 sejak semalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan status pemulihan kawasan terjejas, pili awam dan stesen pengisian air komersial boleh melayari laman sesawang, hentitugas.airselangor.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 10:26 PM