Enam sahabat mengundi bersama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeram di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2. - FOTO NSTP
Enam sahabat mengundi bersama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeram di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2. - FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Selangor: Enam sahabat teruja apabila dapat keluar mengundi bersama bagi memilih ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, hari ini.

Lebih mengujakan apabila kesemua mereka mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 di sini, yang menjadi lokasi bermulanya persahabatan mereka sewaktu di sekolah rendah.

Nurairinna Ilya Khairul Anuar, 21, berkata ini kali kedua dia dan lima rakannya datang mengundi bersama selepas kali pertama pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 lalu.

"Kali ini saya rasa lebih tenang dan kurang rasa gementar. Lagipun saya datang bersama lima rakan baik, jadi lebih seronok dan semangat untuk mengundi.

"Kami sudah merancang untuk datang bersama semalam. Secara kebetulan saya memang berada di rumah kerana sedang menjalani latihan industri di UiTM Puncak Alam," katanya ketika ditemui di pusat mengundi SK Puncak Alam 2 di sini, hari ini.

Pelajar Diploma Teknologi Maklumat dari Politeknik Dungun, Terengganu, itu berkata dia berharap calon yang terpilih menjadi wakil rakyat akan mengotakan manifesto dan menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Bagi rakannya, Fatin Amani Mohtar, 21, yang juga penuntut Diploma Teknologi Pembinaan UiTM Seri Iskandar, Perak, berkata proses pengundian berjalan lancar.

"Ayah dan ibu saya sudah datang mengundi pagi tadi, tapi saya tak ikut sebab saluran lain. Saya datang dengan rakan kerana kami mengundi di saluran sama," katanya.

Sementara itu, Zalina Abdul Kadir, 55, yang menghidap penyakit jangkitan kuman pada kaki tetap bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab meskipun terpaksa berkerusi roda.

Zalina yang ditemani anak lelaki Amirul Nasuha Amirul Jefri, 26, berkata dia tidak pernah ketinggalan untuk mengundi sejak berusia 21 tahun.

"Bagi saya sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk memilih. Kesemua empat anak saya pun saya suruh mengundi kerana inilah peluang untuk kita menentukan masa depan negeri dan negara," katanya.

Kerusi DUN Jeram menyaksikan pertembungan dua penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Jahaya Ibrahim dan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Harrison Hassan yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 12:08 PM