HARRISON Hassan (kiri) dan Jahaya Ibrahim diumum secara rasmi sebagai calon PRN DUN Jeram di Pusat Penamaan Calon  di Stadium Tertutup Kuala Selangor. FOTO Asyraf Hamzah
HARRISON Hassan (kiri) dan Jahaya Ibrahim diumum secara rasmi sebagai calon PRN DUN Jeram di Pusat Penamaan Calon di Stadium Tertutup Kuala Selangor. FOTO Asyraf Hamzah
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Selangor: "Saya akur (dipecat ahli Umno), itulah prosedur organisasi. Saya terima dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada parti Umno dan Barisan Nasional (BN)," kata Datuk Harrison Hassan.

Keahliannya sebagai ahli Umno digugurkan selepas beliau diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi DUN Jeram mewakili Perikatan Nasional (PN).

Bekas Timbalan Ketua Umno Sungai Buloh itu berkata, ideologi yang ada pada PN menyamai dirinya menyebabkan beliau memilih untuk menjadi calon parti itu.

Menurutnya, sebagai ahli politik beliau mahu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat seperti mana yang diperjuangkan oleh parti berkenaan.

"Akhirnya kita hanya satu matlamat sebagai ahli politik untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Saya akur dengan perkembangan semasa dan pembaharuan yang rakyat mahukan terutamanya rakyat di Jeram serta Selangor. Saya berikrar untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memenangi DUN Jeram serta mengotakan manifesto saya nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon DUN Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, keahlian Harrison digugurkan selepas beliau diumumkan sebagai calon mewakili PN.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pengguguran keahlian Harrison adalah secara automatik selaras dengan perlembagaan Umno dan peraturan dalam Lembaga Disiplin parti.

Dalam pengumuman calon, Harrison berdepan saingan dua penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Jahaya Ibrahim bagi kerusi DUN Jeram pada PRN ini.

Ditanya keyakinannya untuk memenangi kerusi itu kerana bersaing dengan Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor, Harrison mengakui berdepan cabaran namun yakin rakyat mahukan pembaharuan.

Sementara itu, Jahaya yang ditemui berkata, sokongan penuh daripada penyokong BN selain Pakatan Harapan (PH) diyakini dapat membantu beliau memenangi kerusi itu.

Katanya, sebagai penduduk lama di Kuala Selangor beliau meletakkan matlamat untuk membuat pembaharuan dari segi ekonomi, perniagaan dan infrastruktur di Jeram.

"Jeram sudah lama tertinggal dan seakan dilupakan oleh ahli dewan undangan negeri (Adun) sebelum ini. Jadi saya mahu membaikinya dan bawa pelbagai pembaharuan," katanya.

Untuk rekod, kerusi DUN Jeram dimenangi Mohd Shaid Rosli dari PKR yang memperoleh 7,087 undi menewaskan calon BN, Zahar Azlan Arifin (5,896) dan calon PAS, Mohd Nor Mohd Shahar (4,326).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 12:11 PM