Calon DUN Chennah, Anthony Loke Siew Fook (tiga dari kanan) dan calon DUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua dari kanan) pada sesi walkabout di Kampung Chennah. FOTO AZRUL EDHA
Calon DUN Chennah, Anthony Loke Siew Fook (tiga dari kanan) dan calon DUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua dari kanan) pada sesi walkabout di Kampung Chennah. FOTO AZRUL EDHA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Jelebu: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan sesiapa sahaja layak menjawat Jawatan Menteri Besar (MB) sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Pertang itu turut membuat congakan jumlah calon yang boleh memegang jawatan daripada 36 calon bertanding, dengan 31 daripadanya lelaki dan 13 calon bukan Melayu.

"Jadi, 31 tolak 13 orang, kita ada 18 calon Melayu yang layak untuk dipilih sebagai calon Menteri Besar. Jadi sesiapa boleh," katanya pada sidang media selepas sesi Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat Dun Chennah yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Beliau mengulas spekulasi yang calon Dun Lenggeng, Mohd Asna Amin didakwa akan ditabal MB Negeri Sembilan sekiranya PH-BN menang PRN.

Mengulas isu sama, Loke berkata, gabungan itu tidak mempunyai masalah untuk menentukan pemimpin layak menjadi MB, malah menyelar tindakan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa beliau akan diangkat menjadi MB.

"Dia (PN) cakap saya pula jadi Menteri Besar. Ini tak masuk akal. Ini cara dia nak menakutkan orang Melayu.

"Dia punya hujah dominasi DAP dan sebagainya. (Tapi) yang pertamanya umum ketahui saya Menteri Pengangkutan, saya ada jawatan.

"Yang kedua, dalam Perlembagaan negeri, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, calon Menteri Besar mestilah orang Melayu beragama Islam. Kalau nak ikut dia punya rentak, macam-macam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 1:26 PM