TUAN Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
TUAN Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Tumpat: Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta isu Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau yang didakwa 'dihalau' ketika Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN), Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini, supaya tidak diperbesarkan.

Menyifatkan insiden itu sebagai salah faham, Tuan Ibrahim berkata, beliau yakin bahawa isu yang membabitkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bayan Lepas itu akan dapat diselesaikan dengan baik.

"Sebenarnya itu adalah salah faham sebab majlis itu apabila kita nak berceramah kena minta permit, tapi dia (Dominic) datang nak jumpa tok guru sahaja (Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri), namun tak sempat dan jadi isu lain.

"Kita yakin isu macam ini dapat diselesaikan dengan baik dan kepimpinan Pas sudah pun minta maaf serta buat kenyataan berhubung insiden itu," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Berhubung kejadian itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan sudah membuat permohonan maaf susulan insiden itu walaupun Dominic dikatakan menolak dakwaan terbabit.

Difahamkan, insiden berkenaan tercetus berikutan sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan bagi Dun Bayan Lepas adalah kerusi majoriti Melayu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dari segi kerjasama berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN), kedua-dua parti tetap turun padang tanpa mengira parti siapa yang bertanding di Dun terbabit.

"Semua turun tak kira parti apa bertanding di situ (Bayan Lepas) hatta Dominic sekalipun dan sebenarnya jentera PAS pun turun cuma tidak terlalu dilaporkan di media," katanya.

Terdahulu Tuan Ibrahim hadir dalam Ceramah Mega Ppakat Pertahan DUN Kelaboran di Padang Kemahkotaan, di sini, dan berucap bersama kepimpinan PAS lain termasuk calon PAS DUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 11:48 AM