Muhammad Yusri Muzamir


Bukit Mertajam: Dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai gelombang Perikatan Nasional (PN) di enam negeri disifatkan sebagai kenyataan politik semata-mata, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Perdana Menteri berkata, rakyat sebaliknya perlu memilih pendekatan politik stabil yang menolak pandangan pelampau, selain mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Mengetengahkan lawatannya ke Kedah, semalam, Presiden PKR itu menegaskan beliau menerima sambutan sangat baik dalam siri kunjungannya ke negeri jelapang padi berkenaan.

"Tak apalah, itu kenyataan politik. Saya di Kedah semalam, sambutan luar biasa, baik. Itu kita tidak boleh menafikan.

"Jadi akhirnya rakyat harus memilih. Pertama, politik yang stabil, menolak pandangan pelampau dan ekstrem serta memacu pertumbuhan ekonomi.

"Kita sudah jelaskan kejayaan kita dalam bidang berkenaan," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mendakwa gelombang PN di enam negeri yang berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) memberi isyarat jelas Kerajaan Perpaduan akan turun takhta pemerintahan pada Ogos nanti.

Takiyuddin yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) dilaporkan berkata, ia berpandukan sambutan penyokong di enam negeri setakat ini sangat positif.

Sementara itu, Anwar ketika mengulas permohonan maaf Pas kepada Timbalan Presiden PN merangkap Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, menegaskan parti Islam itu perlu mengemukakan permohonan maaf untuk pelbagai isu lain.

"Banyak yang (Pas) patut minta maaf lagi, itu satu saja," katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Pas semalam dilapor mengemukakan permohonan maaf atas insiden membabitkan Dominic yang didakwa 'dihalau' ketika Ceramah Mega PN, Best di Sungai Dua, Tasek Gelugor, Selasa lalu.

Takiyuddin dilaporkan berkata, kepemimpinan Pas Pusat percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip Islam, walaupun Dominic yang juga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas dikatakan menolak dakwaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 2:03 PM