Kota Bharu: PAS akan membentangkan secepat mungkin Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen bagi membolehkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan, kata Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, PAS Pusat belum memutuskan anggota Parlimennya yang akan membentangkan rang undang-undang itu dan berkemungkinan ia boleh dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri yang juga anggota Parlimen Marang.

“Kerajaan Kelantan mahu rang undang-undang persendirian dibawa ke Dewan Rakyat secepat mungkin dan masa masih ada kerana sesi sidang Dewan Rakyat sekarang akan berakhir pada 9 April,” katanya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

DUN Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

Pelaksanaan kanun berkenaan di negeri ini tertangguh lebih 20 tahun sejak ia diluluskan DUN Kelantan pada 1993 kerana halangan perundangan.

Takiyuddin yang juga anggota Parlimen Kota Bharu dan pengamal undang-undang, berkata PAS Pusat akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi memutuskan tarikh dan anggota Parlimen yang akan membentangkan rang undang-undang persendirian itu.

Takiyuddin yang juga Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri Kelantan, berkata melalui rang undang-undang persendirian itu dua perkara akan dibuat pindaan iaitu Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pindaan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada negeri melaksanakan kanun jenayah syariah itu, manakala pindaan kepada Akta 355, berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah syariah.

Takiyuddin berharap kesemua 132 anggota Parlimen yang beragama Islam akan menyokong kedua-dua pindaan itu pada persidangan Dewan Rakyat nanti.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berharap rang undang-undang persendirian itu dapat dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat sekarang.

“Kita hanya memerlukan majoriti mudah untuk rang undang-undang persendirian itu diluluskan di Parlimen. Seperti mana yang saya sebut selalu, semua wakil rakyat (anggota Parlimen) beragama Islam sedar tanggungjawab agama dia, Insya-Allah mudah untuk sokong dan diluluskan,” katanya.

Mengenai tindakan DAP iaitu rakan PAS dalam pakatan pembangkang yang terus menerus menentang pelaksanaan kanun berkenaan yang juga dikenali undang-undang hudud, qisas dan takzir, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berharap DAP tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan pakatan berkenaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 8:30 PM