TAKIYUDDIN (dua dari kiri) hadir ke IPD Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
TAKIYUDDIN (dua dari kiri) hadir ke IPD Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
Hazira Ahmad Zaidi


SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, hari ini, hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu berhubung dakwaan mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang memberi pengampunan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Takiyuddin dikatakan berbuat demikian ketika memberi ceramah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, pada awal bulan lalu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu hadir kira-kira 3 petang dengan ditemani kira-kira 20 penyokongnya sebelum memberi keterangan selama dua jam.

Takiyuddin ketika ditemui berkata, beliau hadir untuk memberi keterangan mengenai ceramah yang diberikan di PRK Parlimen Sandakan, bulan lalu.

“Kes saya diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 di bawah Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang berbentuk provokasi untuk menimbulkan rasa tidak puas hati, rusuhan dan sebagainya.

“Terserah kepada polis dan saya menghormati kuasa dan tanggungjawab mereka dan berharap pihak berwajib akan mengambil langkah terbaik berdasarkan undang-undang untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, beliau tidak berniat untuk mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang memberi pengampunan kepada Presiden PKR itu.

“Saya tak persoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diberikan di bawah undang-undang, tapi kita sebagai rakyat hendak tahu bila baginda mengampunkan Anwar atau siapa yang meminta memohon pengampunan itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Noor Halim Nordin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya mengambil keterangan Takiyuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 6:36 PM