Dakwaan pemimpin parti keluar UMNO.
Dakwaan pemimpin parti keluar UMNO.
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya terkesan jika benar pemimpin Umno yang dikatakan akan keluar parti membabitkan mereka berjawatan dalam kerajaan dan parti.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, jika benar berlaku pemimpin Umno keluar parti, ia barangkali disebabkan desakan penyokong sebilangan pemimpin yang sudah dipecat atau digantung dari parti.

"Barangkali juga ada yang menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri kali ini untuk terus mencetuskan krisis dalam parti Umno iaitu parti politik terbesar orang Melayu di negara ini.

"Namun jika tak berlaku seperti yang didakwa Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa, ia akan mencalarkan reputasi termasuk Perikatan Nasional (PN) yang dipetik oleh bekas pemimpin Umno itu.

"Jika tidak ada atau tak berlaku pun perkara yang didakwa itu, ia akan dianggap gimik kempen PRN semata-mata," katanya.

Pada Rabu, Annuar dilaporkan mendakwa ramai kalangan pemimpin dan ahli Umno akan meninggalkan parti itu.

Tanpa menyatakan berapa ramai seperti dakwaannya, Annuar dilaporkan berkata satu pengumuman mengenainya akan dibuat semalam yang turut dihadiri Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Kita akan buat pengumuman penting, termasuk pengisytiharan ramai pemimpin dan ahli parti serta mantan Ketua Setiausaha dan bekas Exco yang akan keluar daripada Umno.

"Ini bukan saja dalam kalangan pemimpin dan ahli dalam Parlimen Ketereh, malah beberapa kawasan yang lain," katanya pada sidang media di Program Ceramah Perdana Isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas di sini, Rabu lalu.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, dakwaan Annuar itu belum tentu kebenarannya lebih-lebih lagi menjelang PRN akan berlaku banyak situasi seperti itu.

"Apakah pimpinan yang keluar Umno ini benar-benar mewakili akar umbi Umno atau sekadar kempen yang menakutkan saja.

"Jika benar, ini suatu ujian buat Umno namun ia dijangka tidak menggugat Kerajaan Perpaduan. Kedudukan Umno dalam kerajaan madani ini penting bagi menjamin kestabilan dalam parti pemerintah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 8:00 AM