HANNAH dan Norza  menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub (kiri) dengan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal (kanan). FOTO Bernama
HANNAH dan Norza menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub (kiri) dengan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal (kanan). FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan duduk semeja dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk berbincang lebih lanjut sebelum mengumumkan sasaran pingat yang lebih realistik buat kontinjen negara menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sama ada Olimpik Paris ini akan diletakkan sasaran pingat atau seperti kaedah sebelum ini iaitu tetapan pingat tanpa sebarang warna.

Jelasnya, segala sudut aspek perlu diambil kira terutama tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi kepada atlet yang sudah berusaha bersungguh-sungguh ke temasya terbesar dunia itu.

"Saya belum berkesempatan berbincang dengan YB (Hannah) berhubung perkara ini (sasaran pingat). Sudah tentu kami membincangkan langkah terbaik kerana sedia maklum kita tidak mahu atlet berada dalam keadaan tertekan dalam pertandingan di Olimpik Paris nanti.

"Seperti saya selalu katakan, impian setiap atlet adalah untuk melayakkan diri ke Olimpik dan tugas kita sekarang adalah untuk berikan segala sokongan kepada mereka agar dapat mempamerkan prestasi terbaik di sana (Paris) nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan di MSN, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Norza menjangkakan kontinjen Malaysia akan bertambah sehingga 24 atau 25 atlet berbanding ketika ini 18 orang yang sudah layak bagi menggalas cabaran negara di Olimpik Paris nanti. dan mengharapkan barisan atlet dapat mengelakkan sebarang kecederaan.

"Setakat ini yang kita ramal saiz kontinjen adalah dalam 24 atau 25 orang atlet sebagaimana sedia maklum. Bagaimanapun, kita tunggu hingga ke penghujung bulan ini jika ada penambahan atlet," katanya.

Untuk rekod, antara atlet yang diletakkan harapan untuk meraih pingat emas Olimpik pertama negara adalah jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang serta beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 6:07 PM