HUSSEIN Omar Khan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini. FOTO Genes Gulitah
HUSSEIN Omar Khan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini. FOTO Genes Gulitah
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis akan memanggil pengusaha katering dan penganjur program di sebuah sekolah agama di Gombak bagi membantu siasatan berhubung kes keracunan makanan yang menyebabkan dua kematian, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya juga akan memanggil guru sekolah berkenaan bagi membantu siasatan kes.

"(Kita) masih menunggu laporan makmal berkaitan jenis keracunan makanan yang dihadapi mangsa dan ketika ini kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

"Kita akan panggil pengusaha katering, penganjur dan guru sekolah bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

"Saya difahamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menutup kantin di sekolah itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Hussein berkata setakat ini sebanyak dua laporan diterima daripada ibu bapa mangsa.

Katanya, semakan di hospital mendapati tiada mangsa lain yang hadir menerima rawatan susulan kes itu.

Terdahulu, media melaporkan bayi perempuan 19 bulan dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami keracunan makanan dipercayai selepas makan makanan dibawa pulang dari sebuah program sekolah agama di Gombak, Sabtu lalu.

Mayat kedua-kedua mangsa telah dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 6:44 PM