REPLIKA LMS dipamerkan di Industri Pertahanan Turkiye sempena lawatan Mohamed Khaled hari ini. FOTO Bernama
REPLIKA LMS dipamerkan di Industri Pertahanan Turkiye sempena lawatan Mohamed Khaled hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Ankara: Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) batch kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM), semalam.

Majlis penyerahan itu disempurnakan antara Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MINDEF Dr Mohd Bakhari Ismail dan Pengurus Besar STM Ozgur Guleryuz dengan disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye Prof Haluk Gorgun di ibu pejabat STM di sini.

Mohamed Khaled berkata projek itu akan mengambil masa kira-kira tiga tahun setengah untuk disiapkan dan Malaysia bakal menerima keseluruhan tiga kapal berkenaan pada akhir 2027.

"Kita yakin projek ini akan disiapkan dalam masa ditetapkan kerana syarikat itu dimiliki oleh kerajaan Turkiye yang dipengerusikan Presiden mereka, maka ada jaminan daripada kerajaan itu," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan itu di sini.

Mohamed Khaled dalam rangka lawatan rasmi ke Turkiye selama lima hari sejak Ahad.

Beliau berkata perancangan Kertas Putih Pertahanan menggariskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu mempunyai 18 LMS bagi mengawal perairan sempadan negara yang terdiri empat perairan iaitu Laut Cina Selatan, Laut Sulawesi, Laut Selat Melaka dan Laut Sulu.

"Dengan perolehan tiga LMS batch kedua ini, diharap dapat membantu kita mencapai 18 kapal diperlukan TLDM. Jadi, pendekatan menyerahkan LOA kepada Turkiye ini bergantung kepada keupayaan mereka untuk siapkan dalam masa ditetapkan, kalau tidak dapat disiapkan akan menjejaskan segala perancangan," katanya

Pembinaan dan kelengkapan kapal itu akan dilakukan di Turkiye melibatkan kerjasama 50 syarikat dari sektor pertahanan Turkiye antaranya Aselsan, Havelsan dan Roketsan yang akan disepadukan dengan sistem termaju dan dilengkapi sistem senjata canggih, penderia serta sistem arahan dan kawalan yang membolehkan TLDM melaksanakan pelbagai misi dengan berkesan.

LMS batch kedua merupakan korvet kelas-Ada ialah jenis kapal peronda dan peperangan antikapal selam (ASW) yang dilengkapi peluru berpandu antipesawat canggih selain mempunyai sesaran kira-kira 2,500 tan, panjang 99.56 meter (m), lunas 14.42 m dan draft 3.94 m serta dikuasakan oleh enjin Renk Codag 31,640 kW (42,430 hp).

Dengan had laju maksimum lebih 26 knot dan jarak pelayaran sejauh 4,000 kilometer pada 14 knot, ia boleh memuatkan 111 anak kapal dan daya tahan maksimum selama 14 hari selain turut dilengkapi dengan helipad dan hangar untuk menyimpan dan mengendalikan helikopter ASW atau pengangkut bersaiz sederhana serta pesawat tanpa pemandu (UAV).

Terdahulu, Mohamed Khaled memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara dua kerajaan berhubung perolehan kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk produk pertahanan Turkiye-Malaysia.

"MoU seperti ini tidak pernah dibuat oleh Malaysia dengan mana-mana negara tetapi dibuat bersama Turkiye kerana ia mencerminkan hubungan rapat antara kedua-dua negara selain hubungan berasaskan kepercayaan, hormat menghormati dan keinginan membantu antara satu sama lain.

"Saya percaya pemeteraian MoU ini akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara terutamanya Malaysia kerana Turkiye adalah kuasa tentera yang canggih pada hari ini dengan teknologi pertahanan sangat baik dan merupakan satu daripada negara pembuatan aset ketenteraan tercanggih di Asia Barat," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata bagi membuktikan komitmen dalam melaksanakan MoU itu, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dibentuk dalam masa enam bulan akan datang bagi merancang inisiatif strategik dan memantau kemajuan pelaksanaan MoU berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 5:50 PM