LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Tiada bau aneh pada bihun yang dimakan Allahyarham Luth Izhar Kamal.

Itu pengesahan bapanya Kamal Baihan, 53, yang memaklumkan sebelum itu, beliau meminta untuk anaknya itu memeriksa juadah berkenaan.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan buat Luth Izhar, 17, untuk memeriksa makanan yang dijamahnya termasuk bihun goreng dan telur mata yang dibawa pulang pada hari kejadian.

"Saya ada mencium (bau) bihun yang dibawa pulang oleh isteri dan tiada apa-apa bau tidak elok pada makanan itu.

"Semasa makan, Luth ada minta tambah telur daripada kakaknya kerana kakaknya tidak makan telur yang ada bersama bihun tersebut," katanya hari ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata dia menyangka gurau senda dan gelak tawa bersama anak bongsunya kelmarin bakal menjadi memori indah terakhir buat dirinya.

"Jika ada pihak yang mahu menjalankan siasatan, ia terpulang kepada pihak terbabit.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah Luth kerana kematian tidak akan terlewat atau awal dari apa yang ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa," katanya.

Sementara itu, Sepupu mangsa, Iskhandar Zazumi, 30, berkata, Allahyarham adalah seorang yang pendiam namun baik hati.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu semasa majlis tahlil arwah nenek mereka yang baru sahaja meninggal dunia 23 Mei lalu.

"Saya kali terakhir berjumpa arwah Luth semasa malam majlis tahlil nenek kami di Bukit Beruntung, Selangor.

"Tiada sikap ganjil yang ditunjukkan oleh arwah dan kami bertegur sapa sebagai seorang sepupu pada malam tersebut," katanya.

Allahyarham dikebumikan kira-kira jam 2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 6:16 PM