LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Waris Mat Zamri Abdullah yang dilaporkan menghilangkan diri tanpa khabar sejak 44 tahun lalu masih mengharapkan ada petunjuk untuk mengesan lelaki berkenaan.

Anak saudaranya, Siti Nor Fazlini Mokhtar, 35, berkata, mereka sekeluarga tidak berputus asa biarpun usaha mencari Mat Zamri, 69, belum ada sebarang perkembangan positif.

Menurutnya, selepas berita mengenai perkara berkenaan disiarkan akhbar ini, ada beberapa individu menghubunginya untuk berkongsi idea usaha pencarian berkenaan.

"Setakat ini masih belum ada petunjuk mengenai Mat Zamri tetapi ada beberapa individu hubungi saya memberikan idea untuk mengesannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau bahagian pencen (kakitangan kerajaan).

"Saya akan cuba cari melalui saluran JKM dan meski tiada sebarang petunjuk lagi saya akan tetap teruskan pencarian ini.

"Terima kasih untuk bantuan dan berharap usaha ini akan membuahkan hasil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, Siti Nor Fazlini yang sehingga kini masih berusaha mengesan bapa saudara, Mat Zamri Abdullah,yang dikatakan menghilangkan diri dan tidak pernah pulang ke kampung halaman di Kampung Lundang, Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum ini, bapa saudaranya itu bekerja sebagai anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bertugas di Kuala Lumpur serta menetap di Flat Selayang, Jalan Raja Laut, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 5:59 PM