PENGUNJUNG melihat koleksi di Muzium Negara. FOTO Eizairi Shamsudin
PENGUNJUNG melihat koleksi di Muzium Negara. FOTO Eizairi Shamsudin
PENGUNJUNG menggunakan inovasi baru yang diperkenalkan di Muzium Negara. FOTO Eizairi Shamsudin
PENGUNJUNG menggunakan inovasi baru yang diperkenalkan di Muzium Negara. FOTO Eizairi Shamsudin
ZAMRUL menunjukkan antara inovasi baru yang diperkenalkan di Muzium Negara. FOTO Eizairi Shamsudin
ZAMRUL menunjukkan antara inovasi baru yang diperkenalkan di Muzium Negara. FOTO Eizairi Shamsudin
MUZIUM Negara. FOTO Eizairi Shamsudin
MUZIUM Negara. FOTO Eizairi Shamsudin
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Esok, muzium kebanggaan rakyat Malaysia, Muzium Negara akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-60.

Sepanjang enam dekad penubuhannya, Muzium Negara sudahpun melalui banyak transformasi untuk kekal relevan dan gah sehingga hari ini.

Pengarahnya Zamrul Amri Zakaria berkata, pada era 1960 hingga 1970-an contohnya, persembahan yang digunakan adalah menerusi kaedah diorama serta pameran bergerak menggunakan bas ke sekolah-sekolah di kawasan pedalaman.

Namun seiring dengan perkembangan semasa, kaedah diorama dikurangkan sebaliknya Muzium Negara mengguna pakai banyak teknologi moden seperti Augmented Reality (AR) dan teknologi maya (VR).

Kata beliau, sejarah negara tidak boleh diubah namun apa yang pihaknya lakukan adalah menambah baik kaedah penyampaian dan persembahan.

"Dari semasa ke semasa, Muzium Negara akan mengadakan pelbagai pameran mengikut tema yang ditetapkan.

"Kami gembira kerana penerimaan masyarakat semakin positif, buktinya setiap hari terutama pada hari Sabtu, pelawat berbilang bangsa, agama dan lapisan umur datang berkunjung dengan seisi keluarga.

"Muzium kini bukan sahaja tempat rujukan sejarah malah lebih daripada itu, ia juga dapat berfungsi sebagai tempat untuk sekeluarga berkumpul," katanya.

Mengulas mengenai sambutan daripada generasi muda, Zamrul Amri berkata, persepsi bahawa muzium tempat yang suram dan kurang menyeronokkan perlu diubah kerana Muzium Negara sebenarnya mempunyai banyak fungsi.

Beliau berkata, banyak program menarik disediakan untuk menarik minat golongan muda mengunjungi muzium antaranya 'Bermalam di Muzium' selama dua hari satu malam.

"Biarpun berdepan kekangan dari segi keluasan ruang namun penggunaan teknologi moden sedikit sebanyak dapat menarik pengunjung muda untuk datang ke muzium.

"Selain itu, kami juga terbuka untuk semua dan turut menjalinkan kerjasama dengan pihak luar termasuk swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan Muzium Negara kekal relevan kepada masyarakat," katanya.

ZAMRUL menunjukkan tiket khas yang dikeluarkan sempena enam dekat Muzium Negara. FOTO Eizairi Shamsudin
ZAMRUL menunjukkan tiket khas yang dikeluarkan sempena enam dekat Muzium Negara. FOTO Eizairi Shamsudin

Sementara itu, bagi memeriahkan lagi sambutan enam dekad berkenaan, Muzium Negara akan mengadakan pelbagai program menarik selama empat hari sehingga Ahad ini.

Pada hari pertama sambutan iaitu esok, Muzium Negara akan mengadakan pertandingan e-sport, kuiz dan promosi reruai, cabutan bertuah, persembahan kebudayaan serta Acara Gema Puisi yang bakal diserikan dengan penampilan khas, Datuk Ramli Sarip.

Manakala untuk hari kedua iaitu 1 September (Jumaat), acara perasmian akan diadakan pada sebelah pagi diikuti persebahan buskers lagu warisan, Pertandingan Ratu Kebaya Cilik dan Busana Pendekar Cilik, persembahan warisan, persembahan kebudayaan, cabutan bertuah, kuiz dan promosi reruai, persembahan buskers lagu malar segar serta majlis apresiasi media dan rakan strategik.

Untuk hari ketiga iaitu Sabtu, acara istimewa, Malaysia Book of Records yang menghimpunkan 500 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) membuat produk Kraftangan daripada barangan terbuang.

"Turut diadakan pertandingan suara retro, pertandingan suara viral, persembahan buskers lagu warisan, cabutan bertuah serta mini konsert yang akan dihiburkan oleh Datuk Awie, Jay Jay, Hael Husaini, Tomok, Suki Low, Kashika dan hos DJ Sonic.

"Pada hari terakhir iaitu Ahad pula, akan diadakan Larian 60 Tahun Muzium Negara, persembahan kebudayaan, sudut DJ Nasional FM, Pertandingan Memasak Sajian Warisan dan cabutan bertuah hadiah utama," katanya.

Menurut Zamrul Amril lagi, pengunjung yang hadir berpeluang mendapatkan tiket masuk hologram istimewa yang hanya dicetak sebanyak 30,000 keping sahaja.

Kata beliau, tiket edisi terhad itu juga membolehkan pengunjung menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah barangan elektrik menarik.

Katanya, cabutan bertuah diadakan setiap hari bermula pada hari pertama namun kemuncaknya adalah pada hari Ahad, 3 September.

"Selain itu, bermula esok hingga Sabtu ini, kami turut mengadakan Pameran 60 Tahun Muzium Negara: Satu Retrospektif dan Pameran Malaysia Tanah Airku.

"Manakala pada hari terakhir, pengunjung boleh menyaksikan Pameran Evolusi Mata Wang dan Reruai Pameran Galeri Uniti, Agensi dan Teknologi Digital.

"Justeru orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program yang diadakan sempena sambutan ulangtahun ke-60 Muzium Negara kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 1:47 PM