Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Selepas hampir setahun ditutup, Muzium Negara kembali menerima pengunjung yang meluangkan masa cuti hujung minggu hari ini.

Pengunjung bertuah yang menerima cenderahati khas daripada Muzium Negara, Saleh Mokhtar, 37, berkata, dia singgah di satu daripada tempat tarikan pelancongan di ibu kota itu secara kebetulan.

"Pada mulanya, saya dan rakan berjoging dari Taman Tasik Perdana sebelum melalui KL Sentral dan Muzium Negara.

"Oleh kerana tak ada apa hendak buat, kami singgah Muzium Negara lagipun kali terakhir saya datang sini zaman sekolah dulu.

"Walapun tiada perancangan ke sini, saya rasa bertuah diumumkan sebagai pengunjung bertuah menerima cenderahati daripada Muzium Negara," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, penjawat awam, Hamzani Mustafa, 41, dari Sepang, Selangor datang ke Muzium Negara bagi mengisi cuti hujung minggu bersama suami dan enam anak mereka berusia antara lima hingga 16 tahun.

PENGUNJUNG melihat pameran di Muzium Negara. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGUNJUNG melihat pameran di Muzium Negara. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

"Kami bawa anak-anak jalan-jalan mengisi masa lapang di sekitar ibu negara sebelum singgah walk in di Muzium Negara bagi memperkenalkan mereka kepada sejarah Malaysia.

"Saya nampak ada sedikit pembaharuan dan menarik berbanding lawatan saya sebelum ini selain jumlah pengunjung dihadkan dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Macam kami sendiri, sentiasa mengawasi anak-anak misalnya kalau nampak ramai orang kami cuba jarakkan diri bagi mengelak sebarang risiko," katanya.

Pengarah Muzium Negara, Zamrul AmriZakaria berkata, hari pertama pembukaan muzium berkenaan selepas peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyaksikan sambutan menggalakkan dengan 73 peratus kehadiran daripada 650 pengunjung disasarkan, setakat tengah hari.

"Setakat ini, pelawat hadir tidak putus-putus dan kalau dilihat dari segi setiap slot e-temujanji hampir penuh tetapi ramai juga yang datang secara 'walk-in.'

"Kita terima juga yang datang walk in asalkan mereka memenuhi SOP ditetapkan antaranya lengkap vaksinasi dan kita hadkan kemasukan satu slot antara 40 hingga 60 orang sahaja bagi mengelak kesesakan," katanya.

PENGUNJUNG memasuki Muzium negara yang kini dibuka kembali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGUNJUNG memasuki Muzium negara yang kini dibuka kembali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Katanya, pihaknya turut membuat beberapa siri penambah baikan di ruangan pameran dan landskap serta memperkenalkan pengisian program secara dalam talian bagi menarik kehadiran orang ramai.

"Selain mengekalkan galeri sedia ada dengan mempamerkan koleksi tetap serta Pameran Kuasa Emas di Galeri1, kita juga memperkenalkan Pameran Imbasan Hari Muzium Antarabangsa 2000-2020 di Dewan Tengah serta beberapa perubahan landskap.

"Satu lagi tarikan terbaharu ialah pameran membabitkan satu proses mengawet haiwan, Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi yang akan dilancarkan pertengahan Oktober ini.

"Paling menarik program ditunggu-tunggu ialah Pameran Nostalgia Anak Kampung yang menampilkan pelbagai aktiviti permainan dan jualan kuih tradisional selama sebulan pada penghujung November atau awal Disember ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 4:43 PM