MOHD Zuki (dua, kiri) mengumumkan hadiah Cabutan Bertuah Perdana sebuah kereta Proton X50 kepada Kartini. FOTO Bernama
MOHD Zuki (dua, kiri) mengumumkan hadiah Cabutan Bertuah Perdana sebuah kereta Proton X50 kepada Kartini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pegawai tadbir Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Kartini Abu Kasim muncul pemenang cabutan bertuah utama 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu kereta Proton X50.

Bagaimanapun, Kartini, 41, tiada di dalam dewan ketika namanya diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali kerana sudah pulang selepas selesai bertugas.

Mohd Zuki memutuskan untuk tidak membuat cabutan baharu sebaliknya mengekalkan nama Kartini sebagai pemenang utama.

Kartini yang memiliki empat anak berkata, dia tidak menyangka menjadi pemenang hadiah utama selepas membelanjakan RM300 untuk melayakkannya menyertai cabutan bertuah itu.

"Saya terkejut dan sangat tidak sangka ketika dihubungi penganjur sebentar tadi mengatakan saya pemenang utama cabutan bertuah ini," katanya yang dihubungi Bernama.

Kartini yang juga seorang daripada petugas di reruai KPLB sepanjang empat hari penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia berkata, beliau pulang ke rumahnya di Salak Tinggi, Sepang selepas tugasnya selesai.

"Tak sangka rezeki datang kepada saya. Saya akan ambil hadiah utama itu (Proton X50) hari ini juga," katanya.

Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) Jabatan Perdana Menteri itu menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan serta pameran dan jualan usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 10:13 PM