Nur Jazlan.
Nur Jazlan.
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Semua pihak dalam gabungan Kerajaan Perpaduan terutama DAP, mesti berubah menjadi parti yang lebih sederhana, jika mahu diterima orang Melayu negara ini.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Nur Jazlan Mohamed menyarankan supaya DAP menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan 'Malaysia Malaysian' dalam perlembagaan parti berkenaan.

Katanya, tiada cara lain untuk meyakinkan orang Melayu bahawa DAP hari ini sudah berbeza daripada sebelumnya, selain daripada parti itu meminda Perlembagaan parti berkenaan sekali gus menggugurkan dua elemen terbabit.

Beliau berkata, dua agenda itulah yang terus menjadi trauma kepada orang Melayu dan membuatkan mereka tidak boleh menerima perjuangan DAP.

"Orang Melayu sejak puluhan tahun lalu masih trauma dan tidak boleh menerima sentimen Negara Sekular dan Malaysia Malaysian yang diperjuangkan oleh DAP.

"Bila saya bersembang dengan pengundi Melayu di Selangor (ketika PRN lalu) dan Johor (ketika berkempen), majoriti mereka cakap masih tak boleh nak terima dengan mudah cara politik DAP yang bagi mereka masih terikat dengan tanggapan parti itu adalah parti totok orang Cina.

"Bila saya tanya kenapa selama ini orang Melayu boleh terima MCA dalam BN, mereka (orang Melayu) kata MCA tak ekstrim dan Umno jadi parti dominan dalam gabungan itu.

"Berbeza dengan DAP, mereka kata tak boleh terima agenda sekular dalam parti itu sebab memang bertentangan sama sekali dengan syariat Islam dan Melayu. Jadi sebab itulah orang Melayu macam letak batu sempadan besar nak terima atau sokong DAP walaupun sudah bekerjasama dengan Umno dalam Kerajaan Perpaduan," katanya pada kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai menimbulkan persoalan sama ada DAP berani membuat pengorbanan besar itu demi kelangsungan politik mereka.

"Jika DAP masih was-was untuk lakukan perubahan besar seperti mana pengorbanan yang Umno sanggup buat hari ini dengan menyertai kerajaan Perpaduan, saya jangkakan DAP akan terus dipulau oleh pengundi Melayu.

"Umno juga akan terus ditolak orang Melayu selagi kami bekerjasama dengan DAP. Satu lagi situasi besar yang perlu DAP hadapi ialah gelombang sokongan orang Melayu terhadap PAS akan jadi lebih kuat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dan masa depan.

"Jadi kita akan lihat keadaan politik yang ekstrim di mana orang Cina akan terus sokong DAP sebagai parti mereka dan orang Melayu akan beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dan PAS sebagai parti mereka," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, orang Melayu hanya mempunyai dua pilihan sama ada beralih sokongan secara total kepada PN dan PAS atau menerima kembali Umno sebagai wadah perjuangan mereka.

"Sebab itulah semua pihak termasuk DAP juga, perlu bantu untuk pulihkan Umno semula dan kembali menjadi parti utama di negara seperti sebelum 2018," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 1:30 PM