ISHAM, gambar fail. FOTO Hazreen Mohamad
ISHAM, gambar fail. FOTO Hazreen Mohamad
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Segelintir pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) yang bertindak menjadi 'penjilat' DAP antara punca kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil.

Beliau mendakwa Umno terus menerima penolakan orang Melayu kerana parti yang seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi 'barua DAP'.

Katanya, ada segelintir pemimpin parti itu bertindak 'lebih DAP daripada DAP', dengan mempromosikan DAP secara berlebihan sehingga menimbulkan kurang senang dalam kalangan ahli akar umbi.

"Sebab kekalahan kita (di PRK Kemaman), ada beberapa orang yang mempromosikan DAP dalam Umno …cukup-cukuplah jadi 'penjilat' DAP. Janganlah bila kepentingan DAP tergugat, kamu yang terkoyak lebih.

"Mereka nak pertahankan DAP sangat, sampai jadi 'penjilat' tegar. Itu orang Melayu tak suka. Lagi kamu 'jilat', lagi kamu pertahan DAP selagi itulah orang Melayu akan reject (tolak) kita dan lagi kita akan kalah pilihan raya. Itu kita kena sedar," katanya dalam rakaman video dikongsikan di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu mengulas keputusan PRK Kemaman Sabtu lalu, yang menyaksikan calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan 27,778 undi.

Majoriti yang diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Isham mendakwa Umno perlu kembali memperjuangkan penyatuan parti-parti Melayu jika ingin mengembalikansemula kepercayaan orang Melayu yang kini sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

"Kepada anasir-anasir yang dah jadi tali barut parti lain, nak jadi 'barua' memecahkan orang Melayu, itu yang kita kena tentang habis-habisan.

"Kita kena sedar dalam Umno dan perbaiki diri kita supaya kita kembali relevan dan dapat sokongan orang Melayu dan usahakan orang Melayu di negara ini bersatu kembali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 6:08 PM