GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Cadangan untuk menaik taraf lesen memandu bagi Kelas B2 kepada B secara automatik seharusnya dikaji dan diteliti secara mendalam oleh Kementerian Pengangkutan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sekiranya keputusan itu dibuat secara terburu-buru, ia boleh membawa implikasi serius kepada penunggang motosikal terutamanya dari aspek keselamatan.

Menurutnya, ia boleh menimbulkan banyak masalah terutamanya dari aspek kawalan motosikal berkenaan.

"Kita harus sedar kawalan motosikal kapcai atau di bawah 250cc berbeza berbanding kawalan motosikal besar melebihi 500cc.

"Bayangkan seseorang yang mendapat lesen membawa kenderaan kecil seperti lesen D dan dia diberitahu layak untuk memandu lori tanpa latihan dan ujian.

"Sama juga motosikal. Kalau motosikal besar, mesti perlu dapatkan latihan (menunggang) motosikal besar. Saya harap perkara ini akan diteliti secara mendalam kerana ia membabitkan aspek keselamatan di jalan raya," katanya kepada Harian Metro.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk diteliti terlebih dahulu.

Ahmad Zahid dilapor berpendapat, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

Mengulas lanjut, Lee berkata, aspek latihan tambahan dan ujian sangat penting kepada mereka yang mahu mempunyai lesen B.

"Saya tak nak tengok kemalangan meningkat apabila perkara ini diluluskan. Saya minta kerajaan berhati-hati kerana yang paling penting ialah keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 5:44 PM