PURATA kematian kemalangan jalan raya setiap hari ialah 17 kes yang 12 kes daripada itu membabitkanpenunggang motosikal. Gambar kecil, Mohammad Hisham.
PURATA kematian kemalangan jalan raya setiap hari ialah 17 kes yang 12 kes daripada itu membabitkanpenunggang motosikal. Gambar kecil, Mohammad Hisham.

Isu lesen memandu kembali mencuri tumpuan pengguna jalan raya selepas kerajaan mengumumkan akan menentukan mekanisme bagi mempercepatkan kelulusan untuk membenarkan pemegang lesen memandu Kelas B2 dinaik taraf kepada B secara automatik.

Berdasarkan komen netizen di media sosial, ramai yang beranggapan ia satu inisiatif tepat bagi membantu orang ramai mendapatkan lesen memandu kelas B tanpa syarat tambahan.

Bekas Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) DATUK MOHAMMAD HISHAM SHAFIE mempunyai pandangan tersendiri mengenai perkembangan itu yang dikongsikan bersama wartawan NOR 'ASYIKIN MAT HAYIN untuk Kafe Ahad minggu ini.

Selepas lesen memandu dan lesen kenderaan motor digital, kerajaan tampil dengan cadangan baharu ini. Pandangan Datuk?

Saya berpendapat cadangan ini tidak sesuai dilaksanakan memandangkan kadar kemalangan di jalan raya di Malaysia meningkat setiap tahun.

Purata kematian kemalangan jalan raya setiap hari ialah 17 kes yang 12 kes daripada itu membabitkan penunggang motosikal. Ini data sahih daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Isu keselamatan pengguna dan keselamatan jalan raya tidak boleh dipolitikkan serta tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Ini kerana kematian kemalangan jalan raya adalah isu besar yang menyebabkan isteri kehilangan suami dan anak kehilangan ibu bapa. Nilai kerugian akibat insiden itu juga tidak diketahui.

Ada yang beranggapan, ia cadangan yang baik, memudahkan penunggang motosikal untuk mendapatkan lesen memandu kelas B. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Cadangan menaik taraf lesen memandu kelas B2 kepada lesen memandu kelas B penuh secara automatik membawa implikasi buruk kepada sistem keselamatan jalan raya sedia ada.

Pengendalian motosikal berkuasa rendah dan tinggi amat berbeza. Oleh itu, penunggang perlu mengikuti latihan khas, mempunyai kemahiran dan pengalaman sebelum mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.

Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu meneliti semula cadangan berkenaan dengan mengadakan perbincangan bersama PDRM bagi mendapat maklum balas dan kaji selidik menyeluruh sebelum pembaharuan dilaksanakan.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) adalah salah satu jabatan di bawah PDRM yang bertanggungjawab dalam pengurusan trafik seperti siasatan dan perundangan, penguatkuasaan, kawalan lalu lintas serta pengurusan saman terhadap pengguna jala raya di seluruh Malaysia.

Maka jabatan itu perlu terbabit sama dan pandangannya turut diambil kira.

Statistik PDRM menunjukkan kematian penunggang motosikal akibat nahas jalan raya bagi 2023 meningkat sebanyak 10 peratus.

Ianya membabitkan 4,480 kemalangan maut dengan jumlah kematian direkodkan ialah 4,499 orang berbanding 4,071 kemalangan maut pada 2022.

Amatlah wajar MOT memandang serius dengan angka yang semakin meningkat ini dan tidak membuat keputusan terburu-buru untuk menaik taraf lesen memandu kelas B2 kepada lesen memandu kelas B secara automatik.

Nyawa manusia tidak dapat dinilai dengan wang ringgit dan tidak boleh diganti seperti alat ganti kenderaan.

Di Malaysia, isu keselamatan jalan raya sering menjadi perhatian. Selain inisiatif baharu, apa lagi yang sepatutnya menjadi fokus kerajaan?

Agensi kerajaan di bawah MOT yang bertanggungjawab perlu lebih memfokuskan kepada advokasi dan kempen keselamatan jalan raya serta mendidik orang ramai menjadi pengguna jalan raya yang selamat.

Tujuannya bukan saja mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia tetapi juga kematian akibat insiden berkenaan. Selain itu, operasi keselamatan jalan raya perlu diperhebat dan diadakan sepanjang masa. Tidak boleh dilaksanakan hanya pada musim perayaan seperti Ops Sikap. Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang juga perlu tegas supaya pengguna lebih menghormati dan mematuhi undang-undang jalan raya.

Apakah keputusan kerajaan ini hanya bersifat populis tetapi tiada 'isi'?

Saya berpandangan begitu kerana untuk kepentingan satu pihak iaitu demi populariti.

Mereka mengemukakan cadangan itu yang boleh diistilahkan sebagai ganjaran kepada pengguna jalan raya, tanpa memikirkan impak negatifnya berkaitan dengan keselamatan jalan raya. Adalah lebih baik membuat cadangan yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan seperti orang miskin dan orang kurang upaya (OKU).

Contohnya pemberian lesen memandu kelas B2 percuma kepada golongan berkenaan supaya mereka dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi. Pemilik motosikal berkuasa tinggi ini adalah golongan berkemampuan dan tidak wajar diberikan lesen memandu kelas B secara percuma.

Pada pandangan Datuk, apakah isu jalan raya di negara kita yang perlu ditangani sebaik-baiknya serta adakah isu lama yang belum selesai?

Kerajaan digesa membaik pulih dan naik taraf jalan rosak, memasang lampu di kawasan bahaya serta kerap berlaku kemalangan. Selain itu, meneruskan kempen advokasi keselamatan jalan raya dan memperbanyakkan program melesenkan rakyat Malaysia terutama kepada golongan remaja seawal usia 16 tahun.

Memandu, menunggang secara berhemah dan kendalikan kenderaan dengan tatacara selamat, mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya. Di samping mengelakkan diri dan pengguna jalan raya yang lain daripada musibah kemalangan serta kemalangan maut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 7:01 AM