MOHAMED Khaled menyampaikan ucapan perasmian pada Program Debat MADANI 2023. FOT Arkib NSTP
MOHAMED Khaled menyampaikan ucapan perasmian pada Program Debat MADANI 2023. FOT Arkib NSTP
Oleh Suliati Asri


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengguna pendekatan Debat Perdana MADANI sebagai pentas memperincikan strategi dan tindakan bagi memastikan konsep Malaysia MADANI iaitu satu gagasan besar bersifat etos nasional dapat dijayakan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia MADANI satu gagasan besar yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu diterjemahkan dalam pelbagai perspektif dengan lebih kritis dan kreatif.

Katanya, gagasan ini diunjurkan bersandar pada enam prinsip utama dan disusun sebagai asas kepada sebuah sistem nilai yang harus memimpin Malaysia secara rapat dan tegas dalam menguruskan negara ini serta memeta masa depannya.

"Kita percaya konsep Malaysia MADANI satu pendekatan terbaik untuk kita keluar daripada masalah dan cabaran dihadapi, bukan saja dihadapi negara kita, tetapi juga oleh dunia seperti yang kita dengar pembentangan cendekiawan jemputan.

"Justeru, menerusi pandangan dan ilmu di pentas debat ini oleh cendekiawan dalam serta luar negara, kita percaya bahawa debat ini dapat memastikan gagasan Malaysia MADANI ini benar-benar difahami dan berjaya dilaksanakan.

"Debat Perdana MADANI yang julung kali diadakan ini akan terus diangkat sebagai jalan penting dalam menjayakan gagasan besar negara," katanya ketika berucap pada Program Debat MADANI yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mohamed Khaled berkata, secara asas terdapat beberapa dimensi penting yang menjadi penegasan dalam menganjurkan Debat Perdana MADANI.

"Pertama, Malaysia MADANI bukan sahaja mengenai sistem nilai yang unggul atau idea besar, tetapi lebih utama adalah seruan kebersamaan dalam memberi yang terbaik kepada tanah air.

"Sebagai sebuah kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, Debat Perdana MADANI ini adalah saluran untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsikan dengan negara.

"Kita mahu menggembleng segala kekuatan dan kelebihan dari segi idea dan pemikiran besar untuk disumbangkan kepada usaha membawa kesejahteraan tanah air," katanya.

Kedua, Debat Perdana MADANI ini pentas untuk memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan Malaysia MADANI.

Tetapi untuk sesebuah gagasan besar itu berjaya dan mencapai matlamat murninya, kita mesti mengisi gagasan terbabit dengan cara yang betul, praktikal dan strategik.

Mohamed Khaled berkata, idea besar yang baik, jika tidak diterjemahkan dengan cara yang berkesan, akan berakhir sebagai sekadar slogan kosong.

"Saya yakin, selepas mendengar syarahan daripada semua tokoh yang dijemput, kita berpeluang melihat dengan lebih jelas apakah kelebihan Malaysia MADANI sebagai sebuah gagasan negara.

"Malah, kita juga akan dapat meneliti secara objektif apakah kekurangan dan lakuna yang ada, yang mesti diperbetul dan diperkukuh secara berlapang dada," katanya.

Ketiga dan terakhir kata Mohamed Khaled, beliau memberi jaminan bahawa segala pengamatan serta perspektif yang dikongsikan oleh semua panel yang bijaksana hari ini, bukan sahaja sangat kita hargai, tetapi akan diberikan perhatian serius.

"Pentas Debat Perdana MADANI ini mengumpulkan tokoh-tokoh ulung kerana kita mahu memastikan idea-idea besar berkenaan Malaysia MADANI diuji dan dibahaskan secara terbuka dan kritikal.

"Sekali pun kita semua jelas dengan nilai dan pendirian yang membentuk gagasan Malaysia MADANI, kita sebenarnya masih sangat memerlukan pandangan, kritikan serta saranan dari golongan bijak pandai.

"Kita tidak mahu menjadi mereka yang angkuh, mereka yang berasa hanya kita sahaja yang betul atau mereka yang masuk bakul angkat sendiri," katanya.

Debat kali ini menampilkan 10 ahli panel dari pelbagai latar belakang dengan tiga slot utama iaitu Bicara Sejahtera Malaysia MADANI, pembentangan tiga panel dengan tajuk MADANI in The Context of Modernity, Memberi Makna Kepada Sebuah Negara MADANI dan Peranan Cendekiawan Dalam Membangun Bangsa Madani serta Forum Malaysia MADANI bertajuk Merealisasikan Negara MADANI: Cabaran dalam Malaysia yang Majmuk.

Berita berkaitan: Perjelas takrifan sebenar MADANI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 10:51 AM