Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan tidak begitu tepat untuk mengatakan rizab kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang negatif seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, sebelum ini.

Mohamed Khaled berkata, pada tahun 2022, rizab LTAT memang berada pada kedudukan positif.

"Sebenarnya ada tiga tabung komponen rizab gabungan dalam LTAT, tetapi pihak Auditor General (Ketua Audit Negara) merujuk kepada satu tabung sahaja (Rizab Pendapatan Komprehensif Lain (OCI). Tabung secara gabungan menunjukkan positif dan untuk tahun ini pun mencatatkan positif.

"Ini bermakna pada tahun lepas 2022 kita merekodkan positif, 2023 pun positif lebih kurang dalam RM900 juta rizab LTAT untuk tahun lalu.

"Ertinya, sebenarnya kita ingin jelaskan kedudukan LTAT rizabnya seperti yang dibangkitkan oleh Audit Negara yang mengatakan negatif (mencatat kerugian) adalah tidak begitu tepat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Padang Kawad Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

MOHAMED Khaled  menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perbarisan Tahunan Putera MTD. FOTO Aswadi Alias
MOHAMED Khaled menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perbarisan Tahunan Putera MTD. FOTO Aswadi Alias

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, beliau bersedia dan akan menjelaskan fakta sebenar berkaitan rizab LTAT itu kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kelak sekiranya dipanggil berbuat demikian.

"Dia memang (prestasi) positif, jadi kita akan beritahulah mereka (PAC) bahawa positif (rizab kewangan LTAT)," katanya.

Beliau turut ditanya adakah ia bermaksud terdapat kesilapan di pihak Ketua Audit Negara.

"Saya tak nak cakap begitu, tetapi saya hanya mahu cakap itu tak tepat (laporan LKAN).

"Saya akan jelaskan nanti kepada PAC. Dia tak kata akan panggil, dia kata mungkin akan panggil," katanya.

Semalam, PAC menjelaskan tiga bekas pengurusan tertinggi LTAT akan hanya dipanggil selepas Aidilfitri kerana jawatankuasa itu mempunyai komitmen lain yang dipersetujui lebih awal.

Tiga yang dinamakan adalah bekas Pengerusi LTAT Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman serta Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin, dilaporkan berkata, proses itu akan berjalan seperti dirancang dan PAC tidak mahu mencampuri urusan kerajaan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu laporan penuh dalam tempoh dua minggu berhubung prestasi LTAT.

Mas Ermieyati juga dilaporkan berkata, PAC juga tidak menolak kemungkinan memanggil Menteri Pertahanan dalam prosiding berkenaan.

LTAT perjelas mengenai isu rizab berbaki negatif

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 12:56 PM