GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua pegawai penguat kuasa kerana disyaki meminta rasuah daripada seorang individu berjumlah kira-kira RM8,000.

Ia sebagai balasan meringankan hukuman atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Sumber memberitahu, kedua-dua lelaki berusia 30-an hingga 40-an itu dipercayai ditahan semalam kira-kira jam 7 malam di pejabat SPRM Sabah ketika diminta hadir memberi keterangan.

"Kedua-dua suspek yang bertugas di sebuah daerah di Sabah dipercayai meminta wang rasuah berjumlah kira-kira RM8,000 pada 4 Oktober lalu yang mana RM2,000 sudah diberikan pada 17 Oktober 2023 kepada seorang suspek," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"Kedua-dua suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan kedua-dua mereka direkodkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 2:27 PM