Seorang pengurus syarikat ditahan SPRM selepas meminta suapan RM500,000. Foto ihsan SPRM
Seorang pengurus syarikat ditahan SPRM selepas meminta suapan RM500,000. Foto ihsan SPRM
Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Pengurus sebuah syarikat direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah melebihi RM500,000.

Permohonan reman bermula hari ini sehingga 8 Januari depan itu dibenarkan oleh Majistret Amanina Mohamad Anuar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut sumber, suspek berusia 43 tahun ditahan jam 4 petang semalam di pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.

Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat cari gali meminta dan menerima rasuah daripada pengusaha stesen minyak sekitar Kuala Lumpur sebagai dorongan mengelakkan penilaian prestasi stesen minyak pemilik berkenaan terjejas.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Razaliah Ab Rahman mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 2:12 PM