AZAM ketika Majlis Pelancaran Pemakaian Kamera Badan SPRM di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AZAM ketika Majlis Pelancaran Pemakaian Kamera Badan SPRM di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Farah Marshita Abdul Patah


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lebih ramai saksi bagi membantu siasatan dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Sik.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata ketika ini siasatan berhubung isu itu masih lagi dijalankan dan setakat ini hanya empat orang yang sudah ditahan.

"Kita masih perlu memanggil lebih ramai saksi untuk siasatan lanjut. Dalam hal ini, kita bukan saja menyiasat berhubung isu wang, malah isu pematuhan kelulusan REE.

"SPRM ni kita bukan saja siasat berhubung kesalahan di bawah rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya, tetapi menjadi tanggungjawab kami di bawah Seksyen 7 untuk melihat kepada sistem dan prosedur yang ada sekiranya terdapat kelemahan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Body-Worn Camera (BWC)dan Vest SPRM, di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Berhubung isu penahanan dua lelaki termasuk seorang atase di sebuah pejabat suruhanjaya tinggi yang kerana disyaki menerima rasuah bagi meluluskan permohonan visa warga Bangladesh memasuki Malaysia, Azam, berkata kedua-dua suspek masih dalam reman.

Katanya, hari ini, mereka mungkin akan disambung reman kerana siasatan masih memerlukan mereka untuk ditahan di bawah Seksyen 117.

"Kita mengesyaki sejumlah besar wang disalurkan kepada beberapa tempat dan kita sedang cuba mengesan wang yang sudah dibayar bagi tujuan memperoleh visa pelancong yang disalahgunakan untuk masuk ke dalam negara dan bekerja.

"Sepatutnya mereka gunakan sistem pekerja asing, namun kita mengesan lambakan warga Bangladesh yang masuk ke Malaysia adalah menggunakan sistem visa luar negara dan masuk ke sini sebagai pekerja," katanya.

Azam, berkata pihaknya kini sedang menyiasat perkara itu bagi mengetahui di mana punca ia berlaku.

"Setakat ini, SPRM berjaya mengesan dua lagi individu hasil siasatan yang dilakukan dan berkemungkinan ada lagi," katanya.

Mengulas sama ada SPRM menerima laporan membabitkan kempen berunsur rasuah. membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN), Azam, berkata setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan.

Katanya, perkara itu kerana penamaan calon baru saja bermula pada Sabtu lalu.

"Saya percaya ikut pengalaman yang lepas-lepas, biasa dalam tempoh sehari dua ini belum lagi lah," katanya.

Azam berkata, SPRM memohon semua pihak untuk mematuhi undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, akta berkenaan sudah lama diwujudkan iaitu sebelum kemerdekaan, jadi SPRM tiada hasrat untuk mengemuka atau melancarkan garis panduan kerana ia adalah undang-undang.

"Di bawah Seksyen 10, adalah sangat jelas mengenai apa yang boleh dan tidak, di mana seorang calon, ejen dan sebagainya perlu mematuhi dan memahami kesalahan yang dinyatakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 12:13 PM