Hidayah Bahaudin

Putrajaya: Persembahan pantomim yang diadakan sempena Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2023 mencetuskan suasana sedih, sayu dan pilu dalam kalangan tetamu yang hadir di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Pantomim hasil karya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali itu mengisahkan tragedi pada hari kedua pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Air Simunul pada 2 Mac 2013 selepas serangan berlaku di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Malah, suasana sedih dan pilu terserlah di wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta beberapa tetamu kehormat lain ketika menyaksikan persembahan pantomim itu.

Persembahan bertajuk Op Daulat Kampung Simunul membabitkan kira-kira 150 pegawai dan anggota polis itu turut jiwa waris mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenaan mencemar duli menyantuni ahli keluarga enam pegawai dan anggota polis yang terkorban ketika menyertai Op Daulat, di Kampung Simunul, Sabah.

Balu dan waris terbabit mewakili enam wira yang gugur iaitu Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abd Azis Sarikon, Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Salam Togiran dan Deputi Superintendan Michael Padel.

Wira-wira yang gugur itu adalah dari Cawangan Khas, Pasukan Gerakan Am, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna.

PANTOMIM khas bertajuk Op Daulat Kampung Simunul berkisarkan pencerobohan di Kampung Air Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah dipersembahkan kepada orang ramai pada Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara hari ini. FOTO Bernama
PANTOMIM khas bertajuk Op Daulat Kampung Simunul berkisarkan pencerobohan di Kampung Air Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah dipersembahkan kepada orang ramai pada Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara hari ini. FOTO Bernama

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berangkat ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara, di sini, hari ini.

Istiadat sambutan Hari Pahlawan anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkonsepkan perbarisan statik dengan pembabitan enam detasmen terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), pesara serta bekas anggota polis.

Acara dimulakan dengan lagu Negaraku yang diiringi 21 das tembakan meriam disempurnakan oleh anggota ATM diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Al-Sultan Abdullah.

Perbarisan Hari Pahlawan 2023 membabitkan 18 pegawai dan 652 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM yang diketuai oleh Superintendan Mohd Rezuan Juragan.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dengan menurunkan Jalur Gemilang.

Hari Pahlawan disambut pada setiap 31 Julai setiap tahun yang juga antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa perwira tanah air yang gugur ketika mempertahankan kedaulatan negara.

Kali terakhir istiadat Perbarisan Hari Pahlawan diadakan pada 2018 berikutan istiadat itu tidak dapat dilaksanakan pada 2019 akibat keadaan jerebu teruk melanda negara ketika itu.

Pada 2020 dan 2021, istiadat berkenaan juga tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 11:20 AM
AL-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tidak dapat menahan sebak semasa berkenan menyaksikan persembahan pantonim bertajuk Op Daulat Kampung Simunul pada Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan hari ini. FOTO Bernama
AL-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tidak dapat menahan sebak semasa berkenan menyaksikan persembahan pantonim bertajuk Op Daulat Kampung Simunul pada Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan hari ini. FOTO Bernama