JAMIE Ling (tengah) bersama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ambank, Shafiq Abdul Jabbar (kiri) dan Ketua Perhubungan Pelabur Kumpulan Ambank, Yeoh Run Hann menunjukkan laporan keputusan kewangan bagi akhir tahun 2024 ketika sidang media laporan kewangan akhir tahun kumpulan Ambank 31 Mac 2024 di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
JAMIE Ling (tengah) bersama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ambank, Shafiq Abdul Jabbar (kiri) dan Ketua Perhubungan Pelabur Kumpulan Ambank, Yeoh Run Hann menunjukkan laporan keputusan kewangan bagi akhir tahun 2024 ketika sidang media laporan kewangan akhir tahun kumpulan Ambank 31 Mac 2024 di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) berjaya merekodkan peningkatan 9.3 peratus keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) sebanyak RM1.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, kunci kira-kira AmBank Group berada dalam keadaan baik.

Katanya, pulangan atas ekuiti (ROE) bagi tahun kewangan dikaji meningkat kepada 10 peratus berbanding 9.8 peratus pada tahun kewangan 2023, manakala pulangan atas aset (ROA) bertambah baik kepada 0.97 peratus berbanding 0.9 peratus pada tahun kewangan terdahulu.

"Kami menambah baik nisbah modal, seterusnya mengisytiharkan kenaikan 23 peratus dalam dividen tahunan sebanyak 22.6 sen sesaham bagi tahun kewangan 2024.

"Pinjaman dan pembiayaan kasar pula meningkat tiga peratus tahun ke tahun kepada RM134.1 bilion berbanding RM130.2 bilion pada tahun kewangan 2023, manakala nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) lebih tinggi pada 1.67 peratus.

"Perlindungan kerugian pinjaman kumpulan (LLC), termasuk rizab kawal selia berada pada 109.5 peratus lebih rendah berbanding tahun kewangan 2023 iaitu sebanyak 127.7 peratus," katanya pada sidang media keputusan tahun kewangan 2024 AMMB Holdings di sini, semalam.

Menurutnya, deposit pelanggan meningkat 9.3 peratus tahun ke tahun kepada RM142.4 bilion berbanding RM130.3 bilion pada tahung kewangan 2023.

Sementara itu, mengenai unjuran 2025, Ling berkata, pihaknya menjangkakan pasaran kewangan global akan kekal tidak menentu, tertumpu pada tinjauan inflasi dan hala tuju dasar monetari pada kadar faedah di seluruh dunia.

"Pemacu permintaan luar sudah bertambah baik walaupun ketegangan dan konflik geopolitik berterusan.

"Dalam negara, kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.0 ke 5.0 peratus untuk ekonomi Malaysia pada 2024, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pasaran buruh yang baik memacu permintaan penggunaan.

"Kami juga menjangkakan peningkatan aktiviti pelancongan untuk meningkatkan ekonomi dan kesan limpahan kitar semula teknologi akan memacu pelaburan langsung asing ke negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 11:33 AM