BADDROL (kiri) bersama Shafizan (tengah) kini bergandingan dalam pengurusan skuad bola sepak Sukma Kedah tahun ini. FOTO IZZALI ISMAIL
BADDROL (kiri) bersama Shafizan (tengah) kini bergandingan dalam pengurusan skuad bola sepak Sukma Kedah tahun ini. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Skuad bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Kedah menerima sentuhan berharga daripada legenda Kedah, Baddrol Bakhtiar bagi mengharungi temasya itu yang akan bermula dari 17 Ogos hingga 24 Ogos depan di Sarawak.

Baddrol yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, dilantik oleh Majlis Sukan Negeri Kedah sebagai pengurus pasukan dan bergandingan dengan seorang lagi legenda Kedah, Shafizan Hashim yang bertindak sebagai pembantu.

"Perkara penting dalam setiap pasukan adalah keharmonian di kalangan semua pemain, kalau masing-masing bawa diri dan tak mahu bercampur, pasukan itu tak akan menjadi (berjaya).

"Semua pemain juga tidak perlu rasa rendah diri kerana semua pemain berada pada tahap yang sama, pemain perlu tunjukkan bakat dan kebolehan yang ada pada diri masing-masing tanpa rasa malu dan segan.

"Saya nak cerita, permulaaan kerjaya saya bermula di saingan Sukma ini, dan dari sinilah pihak atasan dan pihak persatuan akan nampak bakat-bakat kita ini untuk dipilih ke peringkat lebih tinggi nanti," katanya.

Sementara itu Mohamad Khairul Ismail yang bertindak selaku ketua jurulatih skuad bola sepak Sukma Kedah berkata, pihaknya mahu memastikan skuad itu mampu mencapai impian mereka pada kejohanan kali ini.

"Kami memiliki senarai 35 pemain setakat ini dan dengan perkembangan pasukan melalui latihan yang sudah bermula, kami akan senarai pendekkan menjadi 23 pemain mengikut keperluan yang ditetapkan seperti posisi pemain mengikut apa yang dirancangkan.

"Sasaran awal kami pada kejohanan ini sudah pasti mahu melepasi saingan suku akhir dan seterusnya berusaha mencapai keputusan terbaik nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 1:26 PM