BADDDROL (tengah) memenangi anugerah pemain paling bernilai, pemain tengah terbaik dan penjaring terbanyak liga super (tempatan) bersama pemenang pemain import terbaik dan pemain paling popular, Liridon (kiri) dan penerima kasut emas, Guilherme de Paula (kanan) dari Kuala Lumpur pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017 di Hotel One World. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
BADDDROL (tengah) memenangi anugerah pemain paling bernilai, pemain tengah terbaik dan penjaring terbanyak liga super (tempatan) bersama pemenang pemain import terbaik dan pemain paling popular, Liridon (kiri) dan penerima kasut emas, Guilherme de Paula (kanan) dari Kuala Lumpur pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017 di Hotel One World. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
BERNAMA

PETALING JAYA: Kejayaan memenangi tiga gelaran pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK2017) malam tadi, membakar semangat Baddrol Bakhtiar memburu lebih banyak kejuaraan bersama Kedah pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018.

Dalam masa sama perancang skuad Helang Meraah itu mengakui tidak menyangka akan meraih semua anugerah berkenaan kerana terdapat calon lain yang turut layak.

Anak jati Sungai Petani itu meraih anugerah Pemain Paling Bernilai, Penjaring Terbanyak (Tempatan) Liga Super dan Pemain Tengah Terbaik.

“Pencapaian pada malam ini (malam tadi) adalah hasil kerjasama rakan sepasukan serta penyokong di tanah air serta di Kedah yang sentiasa memberi sokongan padu kepada saya untuk membuatkan kami beraksi lebih cemerlang.

“Saya sebenarnya tidak menyangka dapat meraih tiga anugerah ini. Saya amat bersyukur kepada Allah SWT di atas anugerah ini dan akui memang amat idamkan anugerah Pemain Paling Bernilai,” katanya selepas majlis anugerah berkenaan.

Baddrol turut memaklumkan bersedia untuk memikul tugas selaku kapten baharu skuad Lang Merah selepas Khairul Helmi Johari menyatakan hasrat melepaskan tugas berkenaan, baru-baru ini.

“Saya menyerahkan kepada rakan sepasukan untuk memilih kapten pasukan Kedah yang baharu.

“Namun saya mengharapkan Khairul Helmi dapat memakai lilitan kapten untuk satu musim lagi kerana kami masih percaya dengan kemampuan beliau memimpin pasukan Kedah,” kata Baddrol yang sudah 11 musim menabur bakti bersama negeri kelahirannya dalam saingan Liga M.

Berkongsi pandangan sama ialah pemain import Kedah, Liridon Krasniqi yang mahu melakar lebih banyak kejayaan bersama-sama pasukan selepas memenangi Anugerah Pemain Import Terbaik dan Anugerah Pemain Paling Popular untuk dua tahun berturut-turut.

“Saya amat gembira atas kejayaan memenangi dua anugerah yang turut menaikkan keyakinan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Kedah yang sentiasa bersama-sama pasukan dalam apa juga keadaan sama ada gembira atau duka,” kata pemain tengah dan penyerang kelahiran Kosovo itu.

Lebih manis lagi, Kedah yang muncul juara Piala FA musim ini turut memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik menerusi Ifwat Akmal Chek Kassim selain Anugerah Kelab Penyokong Terbaik dan Pasukan Bola Sepak Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 3:13 PM