MEGAT Zulkarnain berucap ketika hadir merasmikan Forum Keusahawan Dan Penjanaan Ekonomi di Auditorium Sirim, Seksyen 2 hari ini. FOTO Bernama
MEGAT Zulkarnain berucap ketika hadir merasmikan Forum Keusahawan Dan Penjanaan Ekonomi di Auditorium Sirim, Seksyen 2 hari ini. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pengundi di Selangor tidak boleh menganggap Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya sekadar eksperimen kerana tidak memberikan impak kepada Kerajaan Persekutuan sedia ada.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pengundi mesti tahu nilai setiap undi yang mana kesilapan dalam pengundian boleh mengundang kepada kemudaratan lebih besar.

"Sangat penting untuk kerajaan (Persekutuan) dan jangan lihat PRN ini dianggap sebagai pilihan raya cubaan (sehingga anggap) yang penting Kerajaan Persekutuan masih kekal. Tidak boleh negeri yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.

"Ia akan membantutkan segala perancangan atau pembangunan terutama perkara penting dalam negeri itu. Minta maaf, lihat Kelantan apa yang berlaku lebih 30 tahun bila tidak sealiran akan membantutkan segala perkembangan, pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur dalam negeri itu.

"Sebab itu saya nak mohon kepada pengundi, gunakan hak anda (undi) kepada yang diyakini boleh iaitu Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Keusahawanan dan Penjanaan Ekonomi di Bangunan Sirim, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Zurainah Musa dan Pengerusi Pertubuhan Hawa Kebangsaan, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Megat Zulkarnain yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berkata, penting kepada rakyat negeri ini mengetahui Selangor akan menjadi sebagai satu modul kepada negara.

Katanya, ia berikutan segala limpahan diperoleh Selangor menarik seluruh rakyat dari seluruh negara untuk menetap dan Kerajaan Perpaduan adalah modul pentadbiran terbaik pernah ada di negara ini.

"Pola politik sudah berubah. Jadi saya mohon kepada rakyat dan pengundi dalam Selangor jangan terbuai, termakan dengan kata-kata tidak keluar mengundi pun tidak apa. Ini tidak betul kerana undi kalian tentukan kedudukan dan kestabilan Selangor itu sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain berkata, tawaran lima tahun yang akan dilancarkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN Selangor esok adalah hasil pengalaman gabungan parti berkenaan ketika mentadbir Selangor.

Katanya, tawaran berkenaan adalah sesuatu memang boleh dilaksanakan dan menarik serta bukan sekadar janji manis saja.

"Tidak boleh dinafikan dan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) sendiri sebut bagaimana BN membangunkan negara dan Selangor sehingga 2008. Segala kemakmuran dan apa ada dalam negara ini adalah hasil pimpinan kerajaan di bawah BN dan yang kemudian disambung PH.

"Jadi pengalaman yang ada pada BN dan pemikiran daripada PH digabung dan garap supaya tawaran yang diberikan menjadi lebih baik dan kita akan melakukan tawaran itu secara bersama.

"Jangan kita buat tawaran berasingan yang mana ini tidak baik dan akan menunjukkan kita ada pemikiran berbeza-beza. Pastinya tawaran yang akan kita berikan seperti tawaran yang sedang berlangsung program di bawah pimpinan Amirudin. Cadangan daripada kita adalah macam mana kita hendak tambah baik dengan merujuk kepada pengalaman kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 3:08 PM