MPP perlu memastikan mereka tidak lesu dan sentiasa membawa isu nasional bagi melahirkan siswa lebih matang sekali gus mampu menjadi pemimpin negara suatu hari nanti. - Gambar hiasan.
MPP perlu memastikan mereka tidak lesu dan sentiasa membawa isu nasional bagi melahirkan siswa lebih matang sekali gus mampu menjadi pemimpin negara suatu hari nanti. - Gambar hiasan.
PILIHAN raya kampus seharusnya menjadi medan terpenting bagi siswa menyuarakan dan menunaikan hak masing - masing sebagai warga menara gading. - Gambar hiasan.
PILIHAN raya kampus seharusnya menjadi medan terpenting bagi siswa menyuarakan dan menunaikan hak masing - masing sebagai warga menara gading. - Gambar hiasan.
PERANAN siswa dalam pilihan raya kampus adalah menyeluruh dan tidak tertentu kepada segelintir pihak semata - mata. - Gambar hiasan.
PERANAN siswa dalam pilihan raya kampus adalah menyeluruh dan tidak tertentu kepada segelintir pihak semata - mata. - Gambar hiasan.
PINDAHAN AUKU yang dibuat pada 2012 sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya siswa untuk belajar mengenai perjalanan politik negara melalui proses sewajarnya. - Gambar hiasan.
PINDAHAN AUKU yang dibuat pada 2012 sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya siswa untuk belajar mengenai perjalanan politik negara melalui proses sewajarnya. - Gambar hiasan.
KEMERIAHAN pilihan raya kampus sewajarnya dapat dirasai siswa sebagai salah satu daripada proses demokrasi juga proses kematanganpembelajaran. - Gambar hiasan.
KEMERIAHAN pilihan raya kampus sewajarnya dapat dirasai siswa sebagai salah satu daripada proses demokrasi juga proses kematanganpembelajaran. - Gambar hiasan.
Oleh Ruhaiza Rusmin


Entah di mana silapnya, pilihan raya kampus yang berlangsung di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak kebelakangan ini semakin lesu dan tidak sehangat seperti sebelumnya.

Jika sebelum ini, pilihan raya kampus diwarnai pelbagai insiden panas namun suhu kepanasan itu semakin menurun dengan hanya sesekali isu semasa dibangkitkan.

Itupun tidak secara menyeluruh manakala isu yang ditimbulkan hanya bersifat picisan.

Kesuraman pilihan raya kampus yang semakin tidak mengujakan itu pastinya menimbulkan tanda tanya apatah lagi selepas siswa diberi kelonggaran untuk berpolitik.

Dengan kelonggaran itu, siswa sepatutnya memanfaatkan peluang sedia ada dan merancakkan lagi pentas politik namun sebaliknya berlaku.

Apakah pilihan raya kampus hanya panas me­ngikut musim? Bagaimana pula pandangan bekas ahli majlis perwakilan pelajar (MPP) sebelum ini yang melalui suasana pilihan raya berbeza?

Bekas Yang Dipertua MPP Universiti Utara Malaysia sesi 2006/2007, Idzuafi Hadi Kamilan berkata, kesuraman itu mungkin berpunca daripada sikap siswa yang enggan menawarkan diri bertanding di peringkat fakulti atau kerusi umum.

Menurutnya, keengganan itu boleh disebabkan pelbagai faktor antaranya mahu lebih fokus kepada pengajian ataupun menganggap pilihan raya kampus semakin tidak berkepentingan.

"Didasari faktor-faktor tertentu menyebabkan pilihan raya kampus semakin suram dan hilang serinya.

"Mungkin pandangan siswa hari ini tidak sama seperti kami dulu yang melihat pentas politik di kampus sangat besar tanggungjawab dan kepentingannya.

"Pandangan yang berbeza ini juga merencatkan lagi suasana pilihan raya kampus sedia ada walaupun dari satu segi mereka mempunyai kelebihan untuk berpolitik secara sihat," katanya.

Menurutnya, pilihan raya kampus dulu rancak dengan pelbagai isu semasa terutama membabitkan perjuangan mereka untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Kerana ada isu yang ingin diperjuangkan, maka pilihan raya kampus dilihat sebagai landasan terbaik untuk mereka memperjuangkan suara siswa.

"Tapi sekarang, apa yang ingin diperjuangkan itu sudah diperoleh, manakala isu-isu semasa pula sudah banyak ditangani dengan baik.

"Maka pilihan raya kampus juga dilihat sudah kurang fungsinya untuk memperjuangkan suara siswa kecuali isu-isu kecil seperti kebajikan siswa dalam kampus," katanya.

Beliau yang juga pensyarah undang-undang sambilan di beberapa IPTA, berkata sikap endah tidak endah siswa terhadap pilihan raya kampus juga memberi kesan terhadap suasana di sesebuah institusi.

Katanya, pandangan berbeza siswa dulu mengenai fungsi pilihan raya kampus juga penyumbang kepada kemeriahan suasana.

"Dulu, pilihan raya kampus dianggap medan siswa melahirkan apa jua pendapat dan memperjuangkan hak siswa.

"Sebab itu, mereka berjuang bersungguh-sungguh demi meraih undi.

"Kini, keadaan berbeza. Banyak isu sudah ditangani tapi lebih menyedihkan siswa hari ini lebih suka bersikap berkecuali dan berserah saja," katanya.

Dalam menelusuri falsafah pindaan pada 2012, menurutnya, siswa mempunyai kebebasan berpolitik bukan saja berpolitik kepartian di luar kampus namun juga bijak berpolitik dalam kampus.

"Inilah maksud politik siswa dalam kampus yang seharusnya difahami melalui peruntukan di dalam Perkara 48, Jadual Pertama [Seksyen 8] berhubung dengan Perlembagaan Universiti.

"Tapi ramai kurang atau langsung ambil tahu kerana berpendapat pilihan raya kampus hanya 'hak' siswa tertentu saja.

"Ia hak semua dan bukan individu serta menjadi wadah siswa melaksanakan proses demokrasi sebelum bergelar masyarakat sebenar," katanya yang juga menegaskan ia sebahagian proses pembelajaran di kampus.

Beliau juga berpendapat siswa semakin jauh daripada berpolitik dalam kampus atas sikap kegagalan pimpinan siswa memperjuangkan hak mereka sendiri.

"Hal ini memberikan kesan kepada pilihan raya kampus sekarang sedangkan MPP boleh menggunakan pelbagai isu nasional untuk membuka minda siswa.

"Malangnya ketakutan MPP dan hanya berani melaksanakan program-program seperti persatuan akademik siswa, ibarat menumpulkan lagi taring MPP sebagai persatuan induk siswa.

"Akhirnya lahirlah beberapa kumpulan diskusi ilmiah terbuka di luar kampus yang memberikan diskusi lebih segar dan kritis kepada siswa," katanya.

MPP katanya, perlu bangkit untuk bertindak sebagai pimpinan kampus semata-mata atau pun jurubicara masyarakat bagi menjadikan kedua-duanya berjalan seiring.

"Jika MPP dilihat gagal mengembalikan sifat universiti khususnya sebagai asas tradisi keilmuan, maka MPP akan terus 'hilang' selama-lamanya.

"Sekurang-kurangnya mengembalikan tanggungjawab universiti sebagai pusat tradisi keilmuan ini akan dilihat sedikit sebanyak membantu siswa melontarkan pandangan, berfikiran terbuka, kritis dengan bertanya soalan dan akhirnya membantu mereka menjadi siswa serba boleh apabila keluar di pasaran kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:11 AM