Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 1,834 rayuan berhubung pertukaran penempatan pegawai perubatan, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 332 rayuan sudah diluluskan dan pegawai perubatan terbabit akan mula melapor diri pada Isnin ini.

"Antara alasan rayuan yang dipertimbangkan adalah kerana pegawai sedang mengikuti pengajian kepakaran, menghadapi masalah keluarga yang serius dan ancaman keselamatan.

"Urusan penempatan pada kali ini dibuat menerusi sistem kerana jurang antara jumlah pegawai kontrak dan perjawatan tetap yang tinggi di beberapa negeri, selain memberi peluang sama rata kepada pegawai untuk memilih.

"Seramai 4,155 pegawai perubatan berjaya diserapkan ke jawatan tetap dan sekiranya pegawai dikekalkan di penempatan sedia ada, akan berlaku penempatan tanpa jawatan dan perkara ini menyalahi peraturan kewangan berkuat kuasa," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Dr Zaliha Mustafa. FOTO BERNAMA
Dr Zaliha Mustafa. FOTO BERNAMA

Dr Zaliha berkata, penempatan di lokasi pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak juga kurang menjadi pilihan pegawai perubatan sekali gus rayuan dibuat dan perkara itu juga dipertimbangkan bergantung kepada alasan yang konkrit.

Menurutnya, setiap tahun dianggarkan lebih 1,000 kekosongan di Sabah serta Sarawak dan ia mungkin disebabkan faktor jarak yang jauh atau kekurangan kemudahan menyebabkan ramai menolak untuk dihantar ke dua negeri itu.

"Kita tak boleh biarkan kekosongan di Sabah dan Sarawak kerana sebagai penjawat awam, kena jalankan tanggungjawab namun boleh dikemukakan rayuan jika ada alasan kukuh.

"Ada juga yang ditempatkan di Semenanjung tetapi ingin ke Sabah dan Sarawak kerana ada elaun, jadi kita kena saksama untuk isu penempatan ini," katanya.

Mengenai elaun serta perbelanjaan perpindahan yang mana perkara itu sudah tercatat dalam pekeliling perbendaharaan, Dr Zaliha berkata, jika masih ada perkara berbangkit, mungkin boleh diadakan perbincangan untuk diberikan tambahan elaun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 6:20 PM