Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Sebanyak 400 klinik daif dan usang di seluruh negara sudah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk dinaik taraf.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya menjangkakan jumlah itu akan bertambah dengan kebanyakan direkodkan di Selangor dan Kedah.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 1,200 klinik kesihatan yang dikategorikan daif dan usang terutama melebihi usia 50 tahun sudah dikenal pasti di seluruh negara.

Katanya, kementerian mengklasifikasikan klinik daif dan usang kepada tiga kategori iaitu klinik-klinik uzur khususnya yang berusia 15 tahun, klinik yang mempunyai masalah berkaitan utiliti seperti elektrik dan klinik yang mengalami kerosakan akibat banjir atau kebakaran.

"Semua itu sudah lulus tetapi macam saya kata kemungkinan besar jika ada dalam masa sehingga akhir tahun ini ada lagi penjimatan-penjimatan, jadi jumlah itu mungkin akan bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerjanya ke klinik daif Kuala Terengganu di Klinik Desa Pulau Bahagia, Manir di sini hari ini.

DR Zaliha beramah mesra bersama jururawat semasa mengadakan lawatan kerja ke Klinik Desa Pulau Bahagia, Manir. FOTO Ghazali Kori.
DR Zaliha beramah mesra bersama jururawat semasa mengadakan lawatan kerja ke Klinik Desa Pulau Bahagia, Manir. FOTO Ghazali Kori.

Mengulas mengenai isu yang tular di media sosial mengenai masalah kekurangan pegawai perubatan di sebuah hospital dipercayai di Melaka sehingga menjejaskan rawatan kesihatan kepada pesakit, Dr Zaliha berkata, isu kekurangan pegawai perubatan tetap tidak menjejaskan operasi perkhidmatan di fasiliti kesihatan berkenaan.

Beliau berkata, buat masa ini, berlaku penempatan pegawai perubatan tetap di seluruh negara susulan peralihan lantikan kontrak ke jawatan tetap menyebabkan berlaku kekurangan doktor di sesetengah negeri akibat pertukaran keluar dan masuk pegawai.

"Ia bukan suatu masalah yang besar sehingga kita (hospital) tak boleh berfungsi.

"Mungkin ada beberapa yang kekurangan sana sini tetapi apa kita kena pastikan perkhidmatan itu berjalan dengan lancar, Insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 1:31 PM