Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Jumlah gaji dan elaun tetap diterima pakar perubatan gred UD53, 54, 55, dan 56 antara RM11,000 hingga RM21,000, manakala pakar perubatan gred kanan pula RM16,000 hingga RM37,000 sebulan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pakej yang ditawarkan kepada pakar perubatan termasuk sub kepakaran adalah disifatkan menarik.

"Faedah yang diberikan bukan sahaja bersifat monetari malah tawaran juga diberikan dalam bentuk bukan monetari.

"Jumlah gaji ini tidak termasuk elaun yang boleh dituntut kerana perkhidmatan seperti Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan (BIPP) di Sarawak, Sabah dan Labuan, elaun 'on-call' dan Bayaran Insentif Khas (Pembedahan Elektif)," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, bermula tahun depan, sejumlah RM2.065 bilion peruntukan bagi perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH) dan Perkhidmatan Sokongan Klinik (PSK), terbabit dalam pengkelasan semula peruntukan dan dipindahkan (reclass) daripada Peruntukan Mengurus kepada Peruntukan Pembangunan.

"Mulai 2021 juga, semua peruntukan bagi tujuan bekalan perubatan termasuk ubat, gas perubatan berjumlah RM4.29 bilion bagi keperluan farmasi hospital, klinik kesihatan termasuk klinik pergigian yang sebelum ini di bawah aktiviti dan mengikut bidang kepakaran masing-masing, dipindahkan di bawah Bekalan Perubatan Fasiliti Kerajaan berjumlah RM2.89 bilion dan konsesi penswastaan makmal ubat sebanyak RM1.4 bilion.

"Ia bertujuan memudahkan pemantauan peruntukan dan perbelanjaan secara menyeluruh bagi semua fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Dalam hal ini, Belanjawan 2021 turut merangkumi pendekatan inklusif di Sabah dan Sarawak yang mana kerajaan memperuntukkan lebih daripada RM4 bilion setiap tahun untuk Sabah dan Sarawak dan sehingga kini, KKM memperuntukkan RM209.3 juta bagi perolehan pelbagai bekalan dan perkhidmatan berkaitan Covid-19 untuk fasiliti kesihatan Sabah," katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO ASYRAF HAMZAH
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO ASYRAF HAMZAH

Menurutnya, KKM sentiasa menghargai jasa dan khidmat petugas kesihatan yang dilantik secara kontrak dan bersedia untuk memperakukan pegawai yang berkhidmat secara kontrak serta memenuhi syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan untuk dilantik secara tetap.

Ia pula tertakluk kepada kekosongan dan pewujudan jawatan tetap dari semasa ke semasa.

"Bagi anak kelahiran Sabah dan Sarawak, KKM memberi keutamaan kepada mereka untuk dilantik dan mengisi jawatan di negeri kelahiran masing-masing, termasuk negeri lain, sekiranya jumlah mereka yang berjaya dilantik melebihi daripada jumlah perjawatan di Sabah dan Sarawak.

"KKM sentiasa berusaha menambah jumlah pakar perubatan di KKM terutamanya dalam bidang kepakaran kritikal yang sangat diperlukan. Kita bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyediakan sekitar 1,200 slot pengajian bagi 23 bidang kepakaran untuk pegawai perubatan mengikuti program Sarjana Perubatan.

"Selain itu, KKM juga menyediakan Program Pengajian Kepakaran Parallel Pathway yang meliputi 14 bidang kepakaran buat masa ini. Untuk makluman, jumlah yang dibelanjakan bagi tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) daripada 2017 hingga 2020 adalah RM218 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 1:46 PM