Zaliha Mustafa (tengah) hadir pada Istiadat Konvokesyen ILKKM di Ipoh. FOTO L. MANIMARAN
Zaliha Mustafa (tengah) hadir pada Istiadat Konvokesyen ILKKM di Ipoh. FOTO L. MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Lantikan tetap bagi penempatan 2,083 pegawai perubatan kontrak daripada 4,263 kekosongan jawatan bagi kouta untuk tahun ini akan selesai selewat-lewatnya Disember ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya sudah melaksanakan sebahagian daripada penempatan lantikan tetap itu sehingga hujung Julai lalu.

Menurutnya, ketika ini masih terdapat seramai 2,083 pegawai perubatan kontrak yang sedang dalam proses menentukan penempatan mereka.

"Insya-Allah dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), kita pula akan uruskan bagi pelantikan tetap untuk 2,083 lagi pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap.

"Kita jangka untuk mereka melapor diri di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada akhir Disember ini. Kita membuatnya secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2023 di ILKKM Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, di sini, hari ini.

Istiadat konvokesyen itu meraikan seramai 8,643 graduan pelbagai program pengajian di ILKKM seluruh negara membabitkan 1,196 graduan di Zon Sarawak; Zon Sabah (1,134 graduan) dan Zon Semenanjung (6,113 graduan).

Dr Zaliha berkata, KKM melalui SPA menerima 1.4 juta permohonan bagi menyertai program latihan di bawah ILKKM pada tahun ini,

Menurutnya, dalam tempoh lima tahun sejak 2018 hingga Jun 2023, seramai 14,619 graduan ILKKM diserap ke perkhidmatan.

"KKM memperuntukkan sebanyak RM78 juta bagi tujuan latihan dan pembangunan kompetensi kepada anggota kesihatan termasuk menaik taraf institut-institut latihan di bawah KKM seluruh negara.

"Ia selaras strategi reformasi kesihatan seperti digariskan Kertas Putih Kesihatan yang mana antara fokus pelaburan terpenting KKM bagi memastikan sistem penyampaian kesihatan cemerlang adalah menerusi pemantapan tenaga kerja kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 2:05 PM