BERNAMA

Shah Alam: Sebanyak 2,000 anggota dan pegawai tambahan akan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk membantu memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini berjalan dengan lancar.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kontinjen negeri itu mempunyai kekuatan anggota seramai 14,000 dan daripada jumlah itu 10,000 anggota akan digunakan untuk tugasan berkaitan PRN.

"Anggota dan pegawai yang selebihnya akan meneruskan tugas hakiki lain seperti menjaga balai dan melakukan rondaan," katanya pada sidang media sempena persiapan PRN Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, tambahan 2,000 keanggotaan akan diperoleh daripada kontinjen negeri berdekatan dan Ibu pejabat Polis Bukit Aman, kerana lebih mudah diatur gerak bagi membantu perjalanan pelaksanaan PRN itu nanti.

RAZARUDIN, gambar fail. FOTO Bernama
RAZARUDIN, gambar fail. FOTO Bernama

Katanya, 70 kawasan panas (hotspot) dikenal pasti di Selangor pada musim PRN, dan kawasan berkenaan akan dipantau oleh Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan Bahagian Cawangan Khas.

"Ini bagi kita menentukan perjalanan PRN dapat berjalan lancar, dan rakyat merasa selamat untuk keluar mengundi tanpa ada ugutan dari luar. Itu akan kita pastikan, tidak berlaku," katanya.

Razarudin seterusnya mengingatkan semua pihak untuk tidak memainkan isu sensitif termasuk isu 3R (agama, bangsa dan raja) sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

"Ketika tempoh berkempen, kita juga mempunyai pasukan perakam dan pegawai penyiasat bermula pada hari penamaan calon hingga pasca hari mengundi… Tidak kira siapa sama ada orang awam, ahli politik atau ahli perniagaan kalau sebut isu sensitif seperti 3R, sekiranya ada keterangan, kita akan siasat," katanya.

Selangor yang mempunyai pengundi seramai 3,747,057 orang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama lima negeri lain iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 2:21 PM