RAZARUDIN memantau proses penamaan calon di Pusat Gerakan PDRM. FOTO Ihsan IGP
RAZARUDIN memantau proses penamaan calon di Pusat Gerakan PDRM. FOTO Ihsan IGP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) melancarkan Op Cantas membabitkan 82 pasukan dengan keanggotaan seramai 1,459 pegawai dan anggota di enam negeri berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan sejumlah tangkapan 400 orang membabitkan pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Op Cantas ini bermula pertengahan Mei lalu di Kelantan sementara bagi lima negeri lain yang mengadakan PRN bermula 29 Jun lalu.

Menurutnya, Op Cantas ini sudah menahan 400 orang sejak dilancarkan atas pelbagai kesalahan dan pasukan ini akan bergerak di lokasi sepanjang tempoh berkempen dan pasca pengundian di enam negeri terbabit.

"Mereka akan memantau rapi perjalanan kempen termasuk di lokasi panas bagi mengelak insiden tidak diingini.

"Proses penamaan calon di 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di enam negeri juga berlangsung dalam keadaan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, ini menunjukkan kematangan calon dan penyokong.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan terima kasih kepada penyokong parti yang tidak melakukan provokasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 3:06 PM