Izz Laily Hussein


Pontian: Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub disifatkan sebagai seorang pemimpin yang sentiasa konsisten dalam perjuangan membela kebajikan rakyat apabila hadir dengan konsep 'Rahmah' yang menumpukan kepada kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sifat terpuji ditunjukkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu diharap menjadi suri teladan buat pemimpin lain, khususnya dalam kerajaan.

"Allahyarham sinonim dengan konsep 'Rahmah' yang diperkenalkan, itu menunjukkan sifatnya yang konsisten dan dalam mesyuarat bersama saya serta jemaah menteri, beliau tidak pernah terlepas dalam mencari jalan atau kaedah untuk meringankan beban rakyat.

"Negara kehilangan seorang tokoh dan saya harap semangat dedikasi beliau ini menjadi teladan, terutamanya sifat penyayang dan rahmah yang beliau tonjolkan dan dedikasikan hingga ke akhir hayat," katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang hadir bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengimamkan solat jenazah pada jam 11 pagi.

Ia turut disertai ahli-ahli politik, saudara-mara, rakan taulan dan masyarakat setempat.

Anwar berkata, kehadirannya juga turut bertujuan untuk menyampaikan ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada keluarga Allahyarham secara peribadi.

Pada masa sama, Anwar berkata, pengganti jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Salahuddin adalah seorang individu yang rajin bekerja dan sentiasa memikirkan soal rakyat.

"Kali terakhir saya jumpa beliau adalah dalam ketika sesi Kabinet minggu lalu, beliau bawa agenda untuk meringankan beban kos sara hidup.

"Setiap minggu, beliau beri laporan kepada Kabinet, nampak beliau seorang yang bekerja keras, amat berdedikasi dan kita kehilangan seorang pemimpin serta rakan yang berjiwa besar.

"Bukan senang jaga kementerian itu dalam keadaan sekarang, ada orang berkata macam-macam, 'pressure' (tekanan) juga beliau. Kita semua manusia, bukannya robot," katanya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula berkata, pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat rakyat Johor, khususnya penduduk di kawasan diwakilinya iaitu Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

Anwar hadir memberi penghormatan terakhir sebelum mengimamkan solat jenazah Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot, Serkat, Pontian hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar hadir memberi penghormatan terakhir sebelum mengimamkan solat jenazah Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot, Serkat, Pontian hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 1:32 PM