Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan calon bagi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang bakal ditandingi di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.

Mengetuai cabaran itu ialah Pengerusi PRM Pulau Pinang, Teh Yee Cheu dan Timbalannya, Ravinder Singh, 81, yang masing-masing akan bertanding di Air Putih dan Pantai Jerejak.

Parti itu turut menamakan Abdul Ghani Haroon, 58, di Dun Sungai Pinang selain dua calon wanita iaitu Lee Chui Wah, 63, (Tanjung Bungah) dan bekas arkitek yang juga orang kurang upaya (OKU), Goh Chuin Loon, 56, (Pulau Tikus).

Timbalan Presiden PRM, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, ramai dalam kalangan rakyat termasuk aktivis masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak parti itu supaya bertanding pada PRN kali ini.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermulanya demam PRN, kita terima banyak desakan daripada rakyat Pulau Pinang selain terima panggilan daripada NGO dan dapat lihat pelbagai isu dibangkitkan mereka.

"Saya sebenarnya terkejut dan berpendapat rakyat rasa tertekan kerana pembangkang tidak begitu berfungsi dan memainkan peranan terutamanya selepas Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

"Sebab itu rakyat Pulau Pinang mahu satu parti yang fokus kepada isu rakyat dengan mengharapkan ada parti dapat menjadi pembangkang yang lantang, tegas dan berani," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon, di sini, hari ini.

Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, meskipun diramal kalah, parti terbabit tidak akan berputus asa untuk mewakili suara rakyat di negeri ini.

Menurutnya, walaupun semua calon PRM kehilangan deposit pada PRU-15 lalu, perkara itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mencuba dan ia bukan petanda pengakhiran perjuangan politik parti yang ditubuhkan sejak 1955 berkenaan.

"Anda tidak gagal sehingga anda berhenti mencuba, jadi kami tak pernah berhenti, kita mungkin terus kalah tapi kami tidak mahu perjuangan ini ditamatkan atau berakhir kerana ia untuk rakyat," katanya.

Pada PRU-15 lalu, PRM tewas semua kerusi yang ditandingi di Pulau Pinang membabitkan Parlimen Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 3:52 PM