Dr P Ramasamy.
Dr P Ramasamy.

Kuala Lumpur: DAP dikatakan menggugurkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy daripada menjadi calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Difahamkan, Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Keputusan itu sekali gus bakal menamatkan khidmatnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perai selama tiga penggal, selepas mula menyandang kerusi itu sejak 2008 pada PRU-12.

DAP juga dikatakan tidak mencalonkan ahli politik kontroversi itu di mana-mana kerusi Dun untuk PRN di Pulau Pinang pada 12 Ogos ini.

Pada PRU-14, Ramasamy menang dengan majoriti 9,049 undi dalam pertembungan enam penjuru, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Barisan Pulau Pinang (PFP), Parti Alternatif Rakyat (PAP) dan Bebas.

Selain itu, BH juga difahamkan DAP juga tidak mencalonkan Syerleena Abdul Rashid untuk mempertahankan kerusi DUN Seri Delima yang dimenanginya pada PRU-14, selepas beliau kini memegang tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Bukit Bendera sejak lapan bulan lalu.

Dalam PRU-14, Syerleena menang bergaya dengan majoriti 13,211 undi menewaskan calon BN dan Parti Bersama Malaysia (MU).

Beliau kemudian dicalonkan di Parlimen Bukit Bendera pada PRU-15, dan sekali lagi menang besar dengan majoriti 42,610 undi dalam pertembungan lima penjuru menumpaskan calon BN, PRM, Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Sementara itu, pegawai kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke enggan mengulas perkara itu dan meminta pihak media menunggu pengumuman rasmi calon DAP untuk PRN Pulau Pinang pada jam 5 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 3:06 PM