Mohamad Ezam. FOTO arkib NSTP
Mohamad Ezam. FOTO arkib NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini melahirkan hasrat untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden PRM, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, antara kerusi berkenaan adalah Dun Sungai Pinang, Air Putih, Pulau Tikus, Pantai Jerejak, Teluk Bahang, Seri Delima, Air Itam, Batu Maung, Bayan Lepas dan Tanjong Bungah.

"Saya sendiri akan memberi tumpuan khususnya membabitkan beberapa kerusi DAP di bahagian pulau agar saingan kuat diberikan kepada mereka ketika PRN nanti.

"Jika dulu MCA menjadi 'musuh tradisi' DAP tapi kini mereka antara komponen dalam Kerajaan Perpaduan manakala GERAKAN pula tidak nampak akan memberi saingan kuat dalam berdepan DAP di kubu kuat mereka.

"Kita terpanggil untuk menampilkan calon pada PRN kali ini bukan untuk merampas atau melumpuhkan kerajaan negeri sedia ada sebaliknya cuma mahu ada konsep semak dan imbang dalam kerajaan pimpinan DAP," katanya pada sidang media di Pulau Tikus hari ini.

Mohamad Ezam yang juga bekas Ketua Pemuda PKR turut tidak menolak kemungkinan beliau bertanding pada PRN akan datang namun ketetapan mengenainya belum diputuskan pucuk pimpinan parti.

Mohamad Ezam turut mengumumkan Ketua PRM Pulau Pinang, Teh Yee Cheu sebagai 'pencabar' kerusi Pengerusi DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lim Guan Eng.

Mohamad Ezam menyifatkan, keputusan Yee Cheu mahu bertembung dengan bekas ketua menteri itu bukan suatu perkara yang mudah namun PRM mempunyai matlamat mewujudkan pasukan pembangkang yang kuat di Pulau Pinang.

"Kalau diikutkan beliau (Yee Cheu) boleh pilih kawasan yang mudah untuk ditandingi tapi kita nak buktikan bahawa kita serius menentang pimpinan DAP demi kesejahteraan semua rakyat dalam mendapat kerajaan yang seimbang.

"Ini memandangkan disebabkan tiada pembangkang yang kuat maka kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang menjadi dominan pada ketika ini," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) PRM kalah di kesemua kerusi Parlimen yang ditandingi di Pulau Pinang membabitkan kerusi Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 4:23 PM