Irwan Shafrizan Ismail

Puchong: Parti Gerakan yang kini bersama Perikatan Nasional (PN) akan diberikan lebih kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berbanding pilihan raya umum lalu.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau turut membayangkan komponen PN itu akan bertanding lebih banyak kerusi Parlimen di Pulau Pinang, negeri yang pernah ditadbir parti itu sebelum dirampas DAP sejak 2008.

"Ada beberapa kerusi yang akan ditandingi Gerakan yang sudah diketahui tapi kita belum boleh umum lagi buat masa ini kerana ada juga beberapa lagi masih dalam rundingan dan kajian.

"Apa yang boleh saya maklum, kita akan dapat lebih kerusi berbanding ketika bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang mana ketika itu Gerakan bertanding di 12 Parlimen dan 33 Dewan Undangan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bilik Gerakan PN bagi Parlimen Puchong di sini, hari ini.

"Kita juga adakan persefahaman iaitu tidak berpegang kepada kerusi tradisional tapi lebih mementingkan calon yang boleh memenangi kerusi dan diterima rakyat.

"Malah kekuatan Gerakan adalah di kerusi dengan komposisi pebagai kaum, jadi tumpuan untuk bertanding adalah di kawasan dengan kepelbagaian bangsa," katanya.

Beliau turut memberi bayangan akan bertanding di Pulau Pinang selepas dua kali tewas di Parlimen Batu pada PRU-13 dan PRU-14.

"Kali ini (PRU-15) saya akan pulang ke Pulau Pinang, tempat lahirnya parti Gerakan dan kubu kuat selama 39 tahun dan berharap Parti ini mampu kembali gemilang di negeri itu," katanya, namun belum bersedia mendedahkan kawasan Parlimen yang akan ditandingi.

Selain itu beliau menjangkakan pengundi muda dan Undi18 akan menjadi penentu dalam PRU-15 selain mengingatkan ahli yang tidak terpilih sebagai calon untuk tidak melakukan pengkhianatan.

DOMINIC berucap ketika majlis pelancaran Bilik Gerakan PRU-15 Perikatan Nasional P103 Parlimen Puchong. FOTO Hairul Anuar Rahim
DOMINIC berucap ketika majlis pelancaran Bilik Gerakan PRU-15 Perikatan Nasional P103 Parlimen Puchong. FOTO Hairul Anuar Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 3:33 PM